Rabu, 18 Mei 2016 | 12:03am
SUASANA Senja di Kampung Hujung Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan
SEBAHAGIAN belia Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan
PUSAT Pemeliharaan Balat di Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan
MASJID Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan
KAMPUNG Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan
PULAU Jambongan, Belruan dari udara. - Foto Juzaimie Jazlan

Pulau Jambongan banyak pantang-larang


BELURAN: Pulau Jambongan di perairan daerah Beluran menyimpan pelbagai kisah misteri dan pantang-larang yang dipelihara hingga kini oleh penduduknya.

Pulau kedua terbesar di Sabah selepas Pulau Banggi itu terletak di utara negeri itu dengan perjalanan ke pulau itu mengambil masa kira-kira setengah jam menggunakan bot laju dari Pangkalan Pekan Paitan di tanah besar.

Pulau berbentuk seperti ladam kuda itu terletak di Teluk Paitan dan mempunyai enam kampung dengan anggaran lebih 5,000 penduduk yang sebahagian besarnya adalah dari suku kaum Bajau dan Suluk.

Namun berhati-hati dengan pantang larang tertentu sekiranya berkunjung ke pulau berkenaan. Seseorang perlu mematuhi empat syarat ditetapkan.

Empat syarat terbabit ialah tidak boleh membakar tangkapan laut iaitu kima, udang, ketam dan belangkas untuk dimakan.

Bagaimanapun, semua hidupan laut itu sekiranya direbus atau dimasak terlebih dahulu sebelum dibakar untuk dimakan, ia tidak mendatangkan masalah.


GRAFIK Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan


KETUA Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Abdul Rauf Jalil. - Foto Juzaimie Jazlan

Ketua Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Abdul Rauf Jalil, berkata sesiapa sahaja pengunjung ke pulau berkenaan perlu mematuhi syarat itu yang didakwa dimeterai melalui perjanjian dengan 'empat lembaga halus' ketika penduduk membuka perkampungan di pulau terbabit suatu ketika dulu.

Pulau berkenaan mula didiami sejak penghujung tahun 1930-an iaitu ketika era North Borneo di bawah penjajahan British.

"Mengikut kepercayaan penduduk susulan cerita disampaikan dari generasi ke generasi, empat lembaga inilah yang menjaga empat hidupan laut iaitu kima, udang, ketam dan belangkas di perairan Pulau Jambongan.

"Bagaimanapun, tidak semua kawasan dalam pulau ini dikenakan syarat demikian, ada batas kawasan tertentu. Cuma kalau kita makan bukan dibakar, ia tidak menjadi masalah," katanya.

Abdul Rauf mendakwa, penduduk percaya mereka yang melanggar syarat berkenaan boleh mendapat musibah iaitu sakit antara seminggu hingga 10 hari.


SEBAHAGIAN bot penduduk Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan


JETI masuk ke Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan

"Berdasarkan kepercayaan, kalau orang sudah sakit dan diubat oleh bomoh atau dukun, bermacam-macam permintaan makhluk itu perlu ditunaikan. Biasanya menyembelih haiwan berkaki empat.

Beliau mendakwa, sehingga kini masih ada orang yang mengalami sakit seperti tidak sedap badan atau demam berpanjangan kerana melanggar pantang, termasuk dalam kalangan anggota tentera yang bertugas menjaga keselamatan di pulau berkenaan.

Dalam aspek melakukan kerja untuk pembangunan pula, katanya, setiap pihak yang masuk ke pulau itu untuk melaksanakan sesuatu pembangunan perlu menyembelih seekor binatang berkaki empat seperti lembu atau kambing.

"Sekiranya pihak tidak terbabit tidak mengikut pantang larang atau peraturan ditetapkan, dalam tempoh tiga hari akan mendapat kesusahan.

"Peraturan di pulau ini, sekalipun hanya menumbangkan kayu balak atau membuka kawasan untuk tujuan perladangan, perlu menyembelih haiwan berkaki empat kalau mengikut perjanjian (dengan lembaga halus), kalau sembelih haiwan dua kaki sahaja, upacara penyembelihan tidak diterima.

"Selepas penyembelihan, penduduk dan pihak terbabit akan mengadakan majlis doa selamat," katanya.


KEADAAN pantai di Kampung Hujung, Pulau Jambongan, Beluran. - Foto Juzaimie Jazlan

Beliau mendakwa, sebelum ini sebuah syarikat kilang sawit berdepan pelbagai masalah khususnya jentera kilang sering mengalami kerosakan kerana tidak menumbangkan haiwan berkaki empat, namun selepas penyembelihan, operasi kilang berjalan dengan lancar.

Selain Kampung Hujung, Pulau Jambongan mempunyai enam perkampungan lain iaitu Bahanan, Sharif, Tawakal, Melalin dan Babago dengan sebahagian besar penduduk mencari rezeki sebagai nelayan, selain menjalankan kerja kampung serta ada juga bekerja di ladang dan kilang kelapa sawit.

Pulau berkenaan memiliki pelbagai kemudahan termasuk sekolah, dewan serbaguna, klinik desa, balai polis, pos Pasukan Gerakan Am dan pos tentera.

INFO - Pulau Jambongan

  • Terletak di perairan utara Sabah
  • 30 minit perjalanan dengan bot laju dari pekan Paitan
  • 5,000 penduduk
  • 6 kampung
  • 1930-an pulau berkenaan mula didiami
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »