Rabu, 18 Mei 2016 | 12:08am
ZAILEE menunjukkan besi perancah yang patah dan berbahaya. - Foto Saddam Yusoff
KEADAAN perancah yang berkarat digunakan oleh kontraktor. - Foto Saddam Yusoff
ANGGOTA JKKP WPKL menunjukkan perancah yang bengkok pada Operasi JKKP WPKL di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff

Kontraktor culas punca kemalangan


KUALA LUMPUR: Ada kontraktor pembinaan, termasuk bangunan tinggi, didapati menggunakan besi perancah yang saiznya tidak mengikut spesifikasi, dipercayai mahu menjimatkan kos.

Selain itu, kontraktor terbabit juga menggunakan besi perancah "cacat" seperti berkarat, bengkok, patah dan tidak mengikut kod reka bentuk.

Dari segi rekod penyenggaraan pula, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKKP WPKL) mendapati ia gagal mematuhi sistem penyelenggaraan dan pemeriksaan yang ditetapkan.

Difahamkan, kontraktor mampu menjimatkan sehingga 20 peratus kos termasuk bayaran penyenggaraan dengan menggunakan besi perancah lebih kecil atau cacat selepas terlalu lama digunakan.

Operasi JKKP WPKL sejak kelmarin membabitkan 24 tapak binaan di sekitar bandar raya mendapati semua tapak pembinaan terbabit termasuk projek mega menggunakan besi perancah cacat sekali gus membawa risiko runtuhan dan kemalangan.

Dari segi saiz besi pula, pemaju menggunakan besi dengan ukuran jejari 2.5 milimeter sedangkan mengikut standard mesti sekurang-kurangnya empat milimeter.

PENGGUNAAN perancah cacat atau tidak diperiksa boleh menyebabkan kemalangan seperti kes di Jalan Cochrane yang mengakibatkan kecederaan pekerja. - Pengarah JKKP WPKL, Ir. Zailee Dollah

Pengarah JKKP WPKL, Ir Zailee Dollah, berkata antara tapak pembinaan yang diperiksa termasuk dua projek pembinaan kondominium 32 dan 35 tingkat dikesan menggunakan besi perancah cacat selain tidak diselia oleh pihak berkompeten secara berkala.

Pemaju yang mengendalikan tujuh daripada 24 pembinaan itu dikenakan notis berhenti kerja serta-merta manakala bakinya menerima notis arahan pembaikan perancah mengikut Akta Kilang dan Jentera 1997.

Katanya, besi perancah mestilah mengikut standard supaya cukup kuat untuk menampung beban di atasnya, seperti orang yang bekerja atau kerja konkrit.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKKP WPKL, Ir Zamzurin Maarof, berkata pihaknya mendapati segelintir pemeriksa besi perancah membuat kerja sambil lewa dalam urusan itu.

Dalam operasi itu, kelmarin dan semalam, jabatan mendapati ada laporan pemeriksaan besi perancah yang disediakan oleh syarikat pengendali perancah yang dilantik kontraktor, mengandungi ulasan yang sama sejak projek bermula.

Besi perancah wajib diperiksa oleh mereka yang kompeten dan diberi sijil oleh JKKP

setiap minggu.

ZAILEE (dua dari kanan) dan Zamzurin (dua dari kiri) serta pegawai JKKP memeriksa perancah dalam operasi. - Foto Saddam Yusoff

ANGGOTA JKKP WPKL memeriksa saiz besi perancah yang digunakan kontraktor. - Foto Saddam Yusoff

Katanya, jurutera yang dilantik kontraktor pula hanya menandatangani dokumen kebenaran pelaksanaan tugas dalam tapak pembinaan tanpa sebarang komen.

"Apabila pemeriksaan dilakukan di mana perancah berkenaan dipasang, didapati terdapat pelbagai ketidakpatuhan aspek pemasangan perancah.

"Ini menimbulkan kesangsian terhadap laporan pemeriksaan yang sudah disediakan," katanya.

INFO ISU PERANCAH CACAT

  • Reka bentuk yang tidak ikut perundangan
  • Pemasangan tidak ikut reka bentuk diluluskan
  • Perancah yang tidak diselenggara, berkarat, tidak ikut standard
  • Kegagalan pemeriksaan berkala, tidak diselia oleh pengendali kompeten
  • Pemasangan perancah tidak kukuh dan boleh teranjak menyebabkan bahaya kepada pekerja
Berita Harian X