Rabu, 18 Mei 2016 | 12:23am
LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. - Foto hiasan
LAPANGAN Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. - Foto hiasan

Pesawat berpatah balik ke LTSAAS susulan ancaman bom

SUBANG: Sebuah pesawat komersial menuju ke Singapura terpaksa berpatah balik dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas menerima panggilan ancaman bom dalam pesawat itu tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika kejadian, pesawat itu membawa 30 penumpang dan empat anak kapal.

"Pesawat itu berlepas dari LTSAAS pada jam 7.39 malam, bagaimanapun kira-kira jam 8 malam, menara kawalan LTSAAS menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali mendakwa terdapat bom dalam pesawat berkenaan.

"Susulan itu, menara kawalan mengarahkan pesawat terbabit berpatah balik dan mendarat semula di lapangan terbang berkenaan," katanya ketika ditemui di LTSAAS sebentar tadi.

Mohd Zani berkata, unit pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan pemeriksaan terhadap pesawat terbabit tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Katanya, semua penumpang sudah berlepas ke Singapura menaiki pesawat lain selepas tiga jam terkandas berikutan ancaman terbabit.

"Polis menyifatkan panggilan ancaman bom itu sebagai palsu dan cubaan menggugat ketenteraman awam. Kita akan kesan siapa yang membuat panggilan berkenaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X