Rabu, 18 Mei 2016 | 7:06pm

Seronok menang tapi tak tunai janji - Idris

DATUK Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Presiden Melaka United (MU), Datuk Seri Idris Haron, sedikit kecewa apabila sebahagian besar agensi kerajaan negeri masih gagal menunaikan janji untuk menyumbang dana kepada pasukan negeri Hang Tuah itu.

Meskipun berjaya merampas semula takhta Liga Perdana daripada Kuala Lumpur berikutan kemenangan besar ke atas ATM FC 6-0 semalam, namun ia tidak mudah memadamkan kekecewaan Idris yang juga Ketua Menteri Melaka.

Pada sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri, di Seri Negeri, di sini, hari ini, Idris menuntut janji daripada sebahagian besar agensi kerajaan negeri yang sebelum ini bersetuju untuk menyumbang kepada pasukan MU.

Katanya, sehingga hari ini, hanya lima daripada 12 agensi kerajaan sudah menyumbang kepada pihak pengurusan persatuan itu, sekali gus menunaikan janji yang dibuat sejak tiga tahun lalu.

"Banyak lagi agensi yang gagal berbuat demikian. (Sepatutnya) agensi kerajaan perlu bersama-sama bantu pasukan MU untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam konteks pengurusan dan pentadbiran.

"Kerajaan negeri menerusi mesyuarat EXCO sebelum ini memutuskan supaya semua agensi kerajaan menyumbang kepada MU, tetapi hanya beberapa yang berbuat demikian. Mereka hanya seronok meraikan kemenangan, tetapi tiada niat pun nak tunaikan janji.

"Bagi saya, hendak menikmati manis (kemenangan) itu biarlah bersama, bukan hanya bersorak apabila menang, tetapi tidak mahu (tunai janji) menyumbang kepada pasukan," katanya.

Antara agensi kerajaan negeri yang disahkan sudah menyumbang kepada MU ialah Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd dan Melaka ICT Holdings (MICTH) Sdn Bhd.

Sebelum ini, MU menerima tajaan daripada beberapa syarikat swasta, termasuk Edra Global Energy Bhd (EDRA) sebanyak RM5 juta, selain Mamee-Double Decker (M) Berhad (RM300,000 dan sebuah kereta), Kejuruteraan Asas Jaya Sdn Bhd (RM500,000), Hatten Group (RM200,000), Faithview Group (RM200,000) dan Sadra Motor (RM200,000).

Berita Harian X