Rabu, 18 Mei 2016 | 8:52pm

Melaka rancang bina laluan baharu atasi kesesakan


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kerajaan Melaka merancang untuk membina beberapa laluan baharu ke pusat bandar raya dan Banda Hilir, di sini, sebagai langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata cadangan membina laluan bernilai kira-kira RM800 juta itu membabitkan pembinaan beberapa jejantas dan jalan empat lorong yang menghubungkan persimpangan di seluruh kawasan bandar raya Melaka.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu tidak termasuk perancangan pembinaan Lebuh Raya Persisir Pantai yang dicadangkan sebelum ini kerana ia masih dipertimbangkan untuk kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita memerlukan kerjasama pihak swasta serta pemilik tanah yang akan terbabit dalam perancangan ini bagi membina laluan baharu itu dan setakat ini, beberapa pihak sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri.

"Saya harap rancangan ini akan berhasil, sekali gus dapat membantu menyuraikan keadaan trafik yang semakin sibuk di pusat bandar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Idris berkata keadaan tiga empangan di negeri ini kembali stabil selepas beberapa minggu berada pada tahap amaran berikutan keadaan cuaca panas dan kering sebelum ini.

Katanya, sehingga hari ini, kapasiti air di Empangan Durian Tunggal melebihi 50 peratus, diikuti Empangan Jus (60 peratus) dan Empangan Asahan (80 peratus).

"Alhamdulillah, Melaka sudah menerima banyak hujan, namun kita masih berjaga-jaga kerana jika tiada hujan dalam tempoh lima hari, keadaan air di empangan berkenaan akan kembali berkurangan," katanya.

87 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »