Khamis, 19 Mei 2016 | 12:05am
BARISAN artis di bawah Hikayat Records (dari kiri) Aqil Zainal, Dayah Bakar, Janna Nick dan Tengku Suhaila pada Majlis Pelancaran Single Perdana Janna Nick di Shah Alam. - Foto Shiraz Ali
DAYAH 'memperdagangkan' bakat nyanyian yang dimilikinya menggunakan hashtag #dbsings dalam laman sosial, Instagram. - Foto Shiraz Ali

Dayah 'jual' diri dengan #dbsings


KUALA LUMPUR: Pada era siber ini, sedikit sentuhan kreativiti dengan bantuan gajet dan aplikasi sudah cukup membuatkan diri dikenali.

Itulah yang dilakukan pendatang baharu, Dayah Bakar yang 'memperdagangkan' bakat nyanyian menggunakan tanda pagar #dbsings dalam laman sosial, Instagram demi meraih populariti.

Tidak kisah dicop artis laman sosial atau kemaruk perhatian ramai, Dayah gigih memuat naik klip video mendendangkan pelbagai lagu saban hari.

Bagi pengacara dan penyanyi yang berasal dari Pahang ini, apa yang dilakukan adalah mengikut aliran terkini bagi individu yang mahu mengetengahkan bakat melalui cara mudah dan efektif.

Berkat ketekunannya, Dayah akhirnya 'disunting' syarikat rakaman, Hikayat Records bagi projek rakaman single. Apa yang menarik, Dayah 'sebumbung' dengan pelakon meningkat naik, Janna Nick yang turut ditawarkan peluang sama meneroka dunia nyanyian.

Tidak sabar menanti reaksi peminat, Dayah akan tampil dengan single duet berjudul Lebih Dari Terindah bersama Nomad.

PENGACARA dan penyanyi, Dayah Bakar. - Foto Shiraz Ali

Bercerita mengenai kegigihannya mempromosikan diri dalam laman sosial, Dayah memberitahu BH Plus:

"Ramai yang memilih untuk memasarkan diri di laman sosial. Jadi saya tak anggap ia kesalahan besar.

"Jadi kalau sesiapa nak tengok saya menyanyi, boleh tonton video yang dimuat naik di laman Instagram. Saya mewujudkan tanda pagar #dbsings di laman bergambar popular itu.

"Saya tidak boleh menidakkan kehebatan dan penangan laman sosial media. Cuma, dulu ketika sibuk dengan dunia pengacaraan, saya sendiri tak mampu mengagak bagaimana hala tuju dunia nyanyian.

"Ketika itu, saya tidak aktif mengikuti saluran muzik YouTube. Apa yang saya tahu ketika itu hanyalah kerja mengacara," katanya.

Mengorak langkah lebih aktif dalam dunia nyanyian, Dayah optimis Hikayat Records mampu menguruskan karier seninya.

"Pada masa sama, saya aktif mempromosikan apa saja termasuk bakat menyanyi dan mengacara di laman Instagram," katanya yang mula mengacara pelbagai program sejak tiga tahun lalu.

DAYAH gigih memuat naik klip video di Instagram mendendangkan pelbagai lagu saban hari. - Foto Shiraz Ali

Mampu cipta lagu

Memiliki Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dayah mengaku perancangan hidupnya tersasar jauh.

Namun, Dayah realistik dengan apa yang diimpikan dalam hidup.

"Jiwa saya memang tidak ada dalam bidang undang-undang. Kalau tak bekerja sebagai peguam, saya masih boleh melontar pendapat mengenai undang-undang.

"Saya tak anggap tempoh belajar itu sebagai membuang masa. Ia suatu pengalaman berharga. Cuma cinta saya lebih kepada dunia nyanyian," katanya.

Dayah berkata, dia juga mampu mencipta lagu.

"Cuma rezeki menjadi pengacara datang dulu. Tahun ini rezeki mengacara dan menyanyi datang serentak. Jadi saya tak kisah untuk melakukan tiga kerja pada masa sama," katanya.

Dayah ketika ini mengacarakan program Sembang Terapi di TV9 berganding dengan Nazrief Nazri dan Akmal Nazri. Sebelum ini, dia pernah mengendalikan program Hijabista, 3R dan Nona Manis.

DAYAH akan tampil dengan single duet berjudul Lebih Dari Terindah bersama Nomad.

Harap single jadi lagu tema drama

Ketika ini, Dayah menghitung hari untuk muncul dengan single Lebih Dari Terindah. Lagu balada itu berkisar kecintaan terhadap Tuhan serta bagaimana hambaNya meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"Ini projek istimewa dan suatu pengenalan bahawa selain mengacara, saya serius untuk membuktikan bakat nyanyian.

"Single ini baharu selesai proses memasukkan vokal. Besar kemungkinan ia akan dipasarkan sebelum Ramadan. Saya dan Nomad bagaimanapun sempat mempromosikan lagu itu dalam program Malaysia Hari Ini (MHI), beberapa minggu lalu.

"Maklum balasnya sangat positif. Saya harap ia dapat digunakan sebagai lagu tema drama rantaian," katanya yang mengagumi vokalis hebat seperti Melly Goeslaw, Bruno Mars dan Adele.

Berita Harian X