Khamis, 19 Mei 2016 | 6:00am

Mahasiswa perlu holistik, mantap spiritual

GAMBAR hiasan. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said (dua dari kanan) beramah mesra dengan para mahasiswa semasa sesi bergambar sempena perasmian Parlimen Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kampus Induk UKM hari ini. - Foto BERNAMA
GAMBAR hiasan. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said (dua dari kanan) beramah mesra dengan para mahasiswa semasa sesi bergambar sempena perasmian Parlimen Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kampus Induk UKM hari ini. - Foto BERNAMA

TAHUN 2016 menjadi saksi pelbagai fenomena yang menggemparkan masyarakat Malaysia serta memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.

Malaysia menempa nama di pelbagai arena dan gelanggang dunia. Inovasi anak muda negara kita diiktiraf pada peringkat global, sumbangan belia kita mendapat perhatian dunia serta banyak lagi kejayaan yang mengharumkan nama belia negara pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan gejala sosial, peningkatan statistik jenayah, gangsterisme serta kejadian lain membabitkan golongan muda bergelar mahasiswa, amat dirasai masyarakat.

Namun, apa yang membimbangkan ialah kejadian jenayah dan masalah sosial ini tidak menunjukkan tanda akan berlaku pengurangan. Bahkan, ia sudah menjadi wabak yang jika tidak dibendung akan menjadi barah, seterusnya akan merugikan negara.

Di mana silapnya? Selepas hampir enam dekad kita merdeka, apakah sistem pendidikan negara masih gagal untuk mendidik masyarakat? Atau silapnya pada peringkat pendidik itu sendiri yang tidak menghayati falsafah pendidikan negara yang sepatutnya menjadi tunjang kepada pendidikan atau pentarbiahan pelajar yang akhirnya menyebabkan pelajar kurang memahami erti sebenar pendidikan?

Atau pendidikan hari ini hanya menekankan mengenai pembangunan intelektual mahasiswa, tetapi tidak mengiktiraf kedudukan spiritual dalam pembinaan diri mahasiswa?

Lahir graduan holistik

Antara aspirasi pendidikan tinggi negara adalah untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Memetik kata-kata seorang tokoh akademik negara, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, dalam ucapannya pada Persidangan Pemimpin Universiti Negara Islam (WICULS) 2015 di Putrajaya baru-baru ini, iaitu 'hati kepada pendidikan itu adalah pendidikan pada hati.'

Ini memberi konotasi bahawa dalam penekanan mengenai pembangunan intelektualisme mahasiswa, penekanan pada pemantapan spiritual mahasiswa itu juga suatu perkara yang perlu dititikberatkan untuk merealisasikan aspirasi pendidikan negara bagi melahirkan graduan seimbang dari segenap sudut merangkumi intelek, rohani dan jasmani.

Sebagai contoh, ketamadunan Barat sering dijadikan kayu ukur yang padanya keistimewaan seperti ketinggian bahasa, nilai integriti dan etika budaya kerja itu, adakah kerana intelektual mereka sahaja? Atau adakah kerana struktur organ otak mereka lebih unik berbanding kita?

Tidak sama sekali kerana lambakan kajian menunjukkan bahawa perkara ini, terhasilnya kegemilangan peradaban tamadun Barat bukan hanya menjadi teladan kerana intelektual sahaja, tetapi juga penekanan mengenai kecerdikan emosi yang menyumbang pemantapan budaya Barat.

Bahkan, di Barat bukan sahaja mendidik otak, tetapi juga mendidik bagaimana menguruskan emosi. Sikap proaktif, efisyen, berdaya saing optimis dalam sektor pekerjaan adalah sifat yang terbit daripada kecerdikan emosi. Kecerdikan emosi boleh diterjemahkan sebagai kemampuan manusia berinteraksi secara positif dengan diri sendiri dan orang lain.

Justeru, amat penting untuk ahli akademik dan mahasiswa menilai kembali apa yang sepatutnya menjadi kayu ukur kecemerlangan mahasiswa dan mengikis persepsi hanya kepentingan akal perlu diutamakan. Pembinaan akal dan jiwa mahasiswa serta masyarakat negara, perlu seiring. Seperti Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk berfikir dan mencari jawapan bagi setiap perkara kerana inilah yang akan menyumbang perkembangan budaya ilmu.

Namun, tidak dilupakan bahawa aspek pembangunan spiritual juga menjadi keutamaan dalam membimbing ke mana akhirnya ilmu itu disalurkan. Dalam konteks Islam, setiap idea dan pemikiran itu perlu dipandu dengan wahyu. Bermakna, segala apa yang difikirkan walaupun itu dianggap sebagai logikal, sekiranya ia bersalahan atau bercanggah dengan syariat digariskan dalam al-Quran dan sunnah, maka ia bukan sesuatu yang baik dan ditegah. Timbul persoalan, generasi yang bagaimana perlu kita lahirkan?

Memetik pandangan cendekiawan Islam, Dr Yusuf Al-Qardhawi iaitu sistem pendidikan perlu melahirkan generasi yang bersandarkan kepada realiti dan keilmuan. Generasi ini adalah generasi yang berlepas daripada segala sangkaan dan berhukum dengan keilmuan dan kebenaran yang nyata. Dan inilah ciri yang dimaksudkan mahasiswa holistik yang cemerlang intelektual dan mapan spiritual tunjang kepada aset sesebuah negara.

Hayati falsafah pendidikan

Wajarnya, falsafah pendidikan negara perlu dihayati oleh segenap pihak dan lapisan masyarakat agar aspirasi dan hasrat kerajaan dalam melahirkan mahasiswa yang holistik bagi mencapai Wawasan 2020. Penghayatan ini sepatutnya merentasi sempadan politik, perkauman dan perbezaan agama agar pembinaan akal dan jiwa itu lebih menampakkan Malaysia sebuah negara yang produktif di mata dunia.

Pemahaman terhadap falsafah pendidikan negara ini juga perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, tidak hanya oleh pembuat dasar, bahkan juga pelajar, pendidik dan semua pihak. Bekas Presiden Indonesia, Soekarno juga pernah mengatakan bahawa, 'berikan aku 1,000 orang tua, maka akan ku cabut semeru dari akarnya dan berikan aku 10 pemuda, maka akan ku goncang dunia'.

Generasi muda hari ini harus mempunyai jati diri kukuh, dilengkapi ilmu yang padu, juga punya pegangan agama yang mapan agar mampu memimpin negara pada masa akan datang. Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka, dunia begitu lambat bergerak, lesu serta tidak berkutik dan tidak akan berubah. Mereka adalah aktor di panggung dunia yang akan mencatur landskap sosiopolitik, dengan kepongahan mereka juga dunia menggelegak dengan pergolakan dan pertarungan. Tanpa anak muda dunia, akan sesepi bintang di langit malam atau tanah perkuburan.

Berita Harian X