Khamis, 19 Mei 2016 | 9:10am
KELIHATAN asap dari pengeboman kereta berhampiran kubu kuat IS di Sirte, semalam. - Foto www.valuewalk.com

32 pejuang terkorban serangan IS di Libya

TRIPOLI: Seramai 32 pejuang yang setia kepada kerajaan perpaduan Libya terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan pengeboman kereta semalam berhampiran kubu kuat IS di Sirte, kata tentera.

"Angka korban hari ini mencecah 32, manakala 50 yang lain cedera," kata pengendali Bilik operasi yang ditubuhkan Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) baru di laman Facebook dan akaun Twitter lewat semalam.

Terdahulu, tujuh maut dalam satu serangan bom kereta di Buairat el-Hassun, 60 kilometer ke barat Sirte dan selebihnya terbunuh ketika bertempur dengan IS di Abu Grein, di sebelah barat, yang berjaya ditawan semula GNA pada Selasa.

Selasa lalu, GNA menggesa pesawat pejuang mengebom IS selepas kuasa dunia menunjukkan kesediaan untuk melengkapkannya.

Pada Isnin, Amerika Syarikat, Itali dan sekutu Libya serta negara jiran bersetuju di Vienna untuk membantu GNA berdepan ancaman IS.

Eropah bimbang militan akan menggunakan pelabuhan dan lapangan terbang Sirte, sebagai batu loncatan untuk menyerang benua itu.

Masyarakat antarabangsa, terutamanya kuasa-kuasa Eropah, juga prihatin dengan pelarian dan pendatang yang menyeberangi Mediterranean dari pantai Libya yang tidak selamat. - AFP

13 dibaca
Berita Harian X