Khamis, 19 Mei 2016 | 7:18pm
INDIRA Gandhi dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini untuk merayu terhadap kesahihan penukaran agama tiga anaknya. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Guru tadika dibenar rayu kesahihan penukaran agama anak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memberi kebenaran kepada seorang ibu beragama Hindu, M. Indira Gandhi untuk merayu terhadap kesahihan penukaran agama tiga anaknya secara unilateral oleh bapa mualaf mereka.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan guru tadika berusia 41 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anaknya.

Dua lagi anggota panel hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan menentukan tiga daripada lapan soalan yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu.

Barisan peguam Indira, diketuai M. Kulasegaran telah mengemukakan lapan persoalan undang-undaang tetapi peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili Kementerian Pendidikan dan kerajaan, bersetuju kepada dua soalan.

Bagaimanapun, seorang lagi peguam Indira, K. Shanmuga, memohon mahkamah untuk menambah satu lagi soalan.

Tiga persoalan berkenaan adalah:

  • Sama ada ibu dan bapa kepada seorang kanak-kanak dalam perkahwinan sivil perlu memberi persetujuan sebelum sijil penukaran kepada agama Islam boleh dikeluarkan untuk kanak-kanak itu.
  • Sama ada seorang kanak-kanak dalam perkahwinan sivil yang belum mencapai umur 18 tahun tahun perlu melafazkan pengesahan kepercayaan supaya penukaran agama mereka boleh didaftarkan.
  • Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif atau wujud bidang kuasa untuk menyemak semula tindakan Pendaftar Mualaf yang bertindak sebagai pihak berkuasa dalam menjalankan kuasa statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Pada 30 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anak Indira yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan memutuskan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Muhammad Ridhuan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, menukar agama anak-anaknya kepada Islam iaitu dua perempuan dan seorang lelaki, yang kini masing-masing berusia 18, 17 dan lapan tahun pada April 2009 tanpa pengetahuan isterinya.

Pada ketika itu, kanak-kanak itu berusia 11, 12 tahun dan 11 bulan.

Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh membatalkan perintah Mahkamah Syariah yang memberi hak penjagaan tiga kanak-kanak itu kepada Muhammad Ridhuan selepas memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi hak penjagaan apabila satu pihak (ibu) bukan seorang Islam.

Mahkamah turut membenarkan permohonan semakan penghakiman oleh Indira bagi membabitkan sijil penukaran agama kanak-kanak berkenaan.

Terdahulu, semasa prosiding, Kulasegaran membuat bantahan awal dengan kehadiran peguam Muhammad Ridhuan, Hatim M Muhausa dengan menyatakan Muhammad Ridhuan tidak mempunyai hak untuk didengar di mahkamah.

Kulasegaran berkata ini kerana Muhammad Ridhuan belum membersihkan penghinaannya kerana gagal mematuhi perintah jagaan dengan tidak memulangkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Hakim Zulkefli memberitahu Kulasegaran supaya membangkitkan perkara itu semasa pendengaran kes rayuan itu.

Indira dan Pathamathan (Muhammad Ridhuan) telah mendirikan rumah tangga lebih 20 tahun lalu mengikut upacara agama Hindu sebelum bekas suaminya itu memeluk Islam pada 11 Mac 2009. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X