Jumaat, 20 Mei 2016 | 12:00am

Jarum halus teknologi kecantikan baharu


ALAT yang digunakan Dr Abdul Jamil pada sesi rawatan wajah. - Foto Munira Abdul Ghani

KECANGGIHAN dan inovasi teknologi dalam bidang kecantikan cepat berubah. Dengan penawaran dan permintaan menjadikan pakar perubatan memperkenalkan pelbagai kaedah rawatan yang terbaik.

Wajah cantik, mulus, berseri, kulit anjal dan tidak nampak tua antara yang paling menjadi tumpuan wanita dan lelaki.

Ada kaedah terbaharu dalam perubatan estetik untuk membantu mengurangkan garis halus, parut bekas jerawat dan memperbaiki struktur kulit secara keseluruhan.

Justeru, penggunaan alat khas, Ultra Pen Skin Needling (UPSN) yang baharu diperkenalkan sejak enam bulan lalu di negara ini, antara kaedah rawatan kulit yang dijangka menjadi pilihan ramai bagi meningkatkan keterampilan gaya hidup individu berikutan hasilnya mengagumkan, selain proses tidak menyakitkan.


DR Abdul Jamil pada sesi rawatan wajah ' PRP Vampire facial'. - Foto Munira Abdul Ghani

12 jarum halus

Pakar Aestetik Klinik Pesona, Dr Abd Jamil Jamal Buhary, berkata rawatan itu menggunakan alat khas seperti pen yang dilengkapi dengan 12 jarum halus diperbuat daripada gred bermutu jenis titanium untuk menghasilkan banyak tusukan mikro pada wajah pesakit yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Tusukan mikro ini akan menggalakkan pertumbuhan dan penghasilan kolagen dan elastin.

"Konsep kaedah ini ialah dengan `merosakkan' kulit untuk hasilkan kulit baharu yang lebih elok untuk menggalakkan kolagen kulit.

"Mungkin menyeramkan apabila dibayangkan wajah ditusuk dengan 12 jarum halus, tetapi individu tidak perlu risau kerana ketika rawatan mereka tidak rasa sakit kerana muka akan disapu krim kebas.

"Ia memberi hasil yang lebih bagus berbanding dermabrasion dan pengelupasan kulit secara kimia," katanya.

120,000 laluan mikro UPSN ada 12 jarum halus yang berfungsi untuk menghasilkan 120,000 laluan mikro ke atas kulit dalam masa seminit.

Sebelum itu, rawatan itu memerlukan Platelet Rich Plasma (PRP) yang diekstrak daripada darah pesakit. Proses itu tidak menyakitkan kerana sebelum rawatan, kulit muka akan disapu dengan krim kebas terlebih dulu. Proses ini mengambil masa lebih kurang satu jam.


PROSES rawatan wajah ' PRP Vampire facial '. - Foto Munira Abdul Ghani

Perlu lebih sekali rawatan

Ketika proses penyembuhan, kulit akan memperbaiki sel tisu kulit yang membuatkan garis halus terhasil dan mengembalikan keanjalan kulit. Semasa proses penyembuhan, individu dinasihatkan banyak menggunakan pelembap dan krim tabir suria.

"Proses ini juga membantu kulit menyerap serum, krim atau gel yang disapu di permukaan kulit dengan lebih baik.

"Individu memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga lima rawatan sebulan sekali bergantung pada jenis masalah kulit," katanya.

Bagi individu yang mempunyai masalah kulit agak ketara digalakkan membuat rawatan ini lima hingga tujuh sesi. Konsultasi dengan doktor penting untuk mengetahui sesi yang diperlukan untuk rawatan.


DR Abdul Jamil pada menjalankan sesi rawatan wajah. - Foto Munira Abdul Ghani

Kesan rawatan

Sejurus selepas rawatan, kulit akan kelihatan sedikit kemerahan. Proses baik pulih kulit akan mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari mengikut masalah dan jenis kulit individu.

Perubahan dapat dilihat sejurus selepas rawatan. Perubahan akan berterusan dengan tumbuhnya sel kulit baharu yang mengaktifkan sel kolagen dan elastin kulit, makin hari perubahan dapat dilihat sedikit demi sedikit," katanya.


PAKAR kecantikan wajah, Dr Abdul Jamil. - Foto Munira Abdul Ghani

Kebaikan rawatan

Kebaikan rawatan ini dapat mengurangkan garis halus dan menampakkan kulit lebih muda, kurang tanda-tanda penuaan dan memberi kelembapan pada kulit.

Rawatan ini boleh mengurangkan kesan hyperpigmentation atau tompok hitam akibat pigmentasi, parut jerawat, parut trauma dan kesan regangan .

"Rawatan ini juga sesuai pada bahagian badan seperti regangan kulit tangan yang berkedut, leher dan bahagian lain badan," katanya.

INFO

Ultrapen Skin Needling

  • Asal: Amerika syarikat
  • Diperkenalkan: Pakar dermatologi di UCSF Medical Centre, Prof Dr Steven Friedrich
  • Tahun: 2012
  • Kaedah rawatan: Banyak menggunakan konsep USPN dengan gabungan PPR
  • Mula berkembang di bahagian Asia sekitar 2015.
  • Tidak menggunakan sebarang bahan kimia.
  • Pesakit akan diberikan tatacara penjagaan kulit selepas rawatan.
  • Tidak perlu bimbang sekiranya pesakit mengikut semua kaedah.
Berita Harian X