Sabtu, 21 Mei 2016 | 12:55am
TINJAUAN Sungai Taman Impian Emas mendapati sungai ini tercemar dengan sampah sarap. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TINJAUAN Sungai Taman Impian Emas mendapati sungai ini tercemar dengan sampah sarap. - Foto Mohd Azren Jamaludin
RM200,000 kos pungut sampah Sungai Skudai setahun. - Foto Mohd Azren Jamaludin
RM200,000 kos pungut sampah Sungai Skudai setahun. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CABANG utama Sungai Skudai ialah Sungai Senai (11.9 km), Sungai Melana (20.02 km), Sungai Danga (17.01 km) dan Sungai Kempas 4.55 km. - Foto Mohd Azren Jamaludin
CABANG utama Sungai Skudai ialah Sungai Senai (11.9 km), Sungai Melana (20.02 km), Sungai Danga (17.01 km) dan Sungai Kempas 4.55 km. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KESEDARAN masyarakat ke arah menjayakan usaha pemulihan Sungai Skudai masih rendah walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran dianjurkan kerajaan negeri serta agensi berkaitan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tiada lagi air bersih Sungai Skudai

JOHOR BAHRU: Sikap buruk penduduk dan industri setempat membuang sampah serta sisa pepejal ke dalam Sungai Skudai hingga mencapai 300 tan setahun, membuatkan bandar raya ini kehilangan sumber air bersih daripada loji rawatan yang beroperasi di situ.

Pencemaran menyebabkan kualiti air Sungai Skudai kini berada pada tahap rendah iaitu Kelas III dan IV, membuatkan loji muka sauk yang terletak di Kampung Jaya Sepakat di sini, hanya mampu beroperasi pada tahap 30 peratus setahun.

Berbanding Sungai Segget di tengah bandar raya ini yang sedang melalui proses pemulihan kualiti air bersih, Sungai Skudai sepanjang 48 kilometer yang hulunya di Sedenak, mengalir merentasi Kulai, Senai dan Skudai hingga muaranya di Teluk Danga sebelum ke Selat Johor, juga perlu diberi perhatian.

SUNGAI yang terletak berhampiran kediaman dan pusat komersil serta kawasan perindustrian sering dikaitkan dengan masalah pencemaran. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SUNGAI yang terletak berhampiran kediaman dan pusat komersil serta kawasan perindustrian sering dikaitkan dengan masalah pencemaran. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Umum mengetahui Sungai Skudai terletak berhampiran kediaman dan pusat komersil serta kawasan perindustrian sering dikaitkan dengan masalah pencemaran, namun usaha pembersihan dan kesedaran penjagaan sungai terbabit perlu ditingkatkan selaras pembangunan kawasan sekitarnya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor membelanjakan lebih RM200,000 setahun bagi memungut sampah dan sisa pepejal yang dijalankan kontraktor di Pusat Informasi Sungai Skudai serta dua lagi perangkap sampah dekat Parit Poh Chee Leng dan Taman Impian Emas.

Tinjauan BH bersama Jurutera Daerah JPS Daerah Johor Bahru, Mohd Shahril Mohd, memperoleh pengalaman 'menyakitkan mata' apabila melihat pelbagai sampah sarap dan kumbahan domestik termasuk sisa pertanian, kesan tumpahan minyak dan sisa industri di sungai terbabit.

Kewujudan penempatan setinggan di kiri kanan tebing sungai turut menyumbang kepada pencemaran, selain kesedaran masyarakat yang masih rendah mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan memulihara sungai.

Lebih mengecewakan apabila penduduk langsung tidak rasa bersalah untuk membuang pelbagai sampah ke dalam sungai yang terletak di belakang kediaman masing-masing.

JURUTERA Daerah JPS Daerah Johor Bahru, Mohd Shahril Mohd menunjukkan Sungai Skudai yang tercemar dengan sampah sarap dan pembuangan sisa industri di kawasan sekitarnya. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JURUTERA Daerah JPS Daerah Johor Bahru, Mohd Shahril Mohd menunjukkan Sungai Skudai yang tercemar dengan sampah sarap dan pembuangan sisa industri di kawasan sekitarnya. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Mohd Shahril berkata, Stesen Pengumpulan Sampah bernilai RM11 juta yang mula beroperasi sejak tahun 2011 itu menjadi antara inisiatif kerajaan mengawal pencemaran dan memulihkan semula kualiti air yang tercemar akibat kegiatan manusia yang tidak terkawal serta tidak peka kepada kelestarian alam sekitar.

Katanya, sampah yang terperangkap dan dipunggah setiap hari dari perangkap di stesen berkenaan lazimnya diangkut dalam lori ke Pusat Pelupusan Sampah di Seelong yang terletak kira-kira 25 kilometer dari situ.

"Sekiranya hujan, lebih banyak sampah hanyut ke sungai dan terperangkap di stesen ini, menyebabkan jumlah kutipan ada ketikanya mencecah 25 tan sehari.

"Ada ketika, tali perangkap yang merintangi sungai terputus akibat terlalu banyak sampah terkumpul. Usaha membaikinya mengambil masa dan kos," katanya.

Walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran dianjurkan kerajaan negeri serta agensi berkaitan, tahap kesedaran masyarakat ke arah menjayakan usaha pemulihan Sungai Skudai masih rendah.

Antara inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat dan tahap kualiti sungai itu ialah Pelan Hala Tuju Sungai Skudai yang dilancarkan pada tahun 2012 yang menggariskan 15 strategi merangkumi 170 tindakan yang perlu dilaksanakan JPS, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) serta Unit Perancang Ekonomi Johor (UPEN).

Pelan itu menyasar pencapaian objektif indeks kualiti air bersih Kelas I dan pemuliharaan alam sekitar di lembangan Sungai Skudai.

Mohd Shahril berkata, antara kekangan dihadap dalam usaha memulihkan Sungai Skudai termasuklah peruntukan terhad, penguatkuasaan lemah serta lembangan sungai yang pesat membangun. Katanya, semua faktor itu menyumbang kepada peningkatan pencemaran.

SUNGAI Skudai sepanjang 48 kilometer (km) mencatatkan indeks kualiti air pada kelas III dan IV. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SUNGAI Skudai sepanjang 48 kilometer (km) mencatatkan indeks kualiti air pada kelas III dan IV. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Fakta Sungai Skudai:

# 48 km panjang sungai dengan 325 km persegi kawasan tadahan

# Cabang utama Sungai Skudai ialah Sungai Senai (11.9 km), Sungai Melana (20.02 km), Sungai Danga (17.01 km) dan Sungai Kempas 4.55 km.

# 250-300 tan purata kutipan sampah setahun

# RM200,000 kos pungut sampah Sungai Skudai setahun

# Kelas III & IV - kualiti air sungai

# 3 PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X