Sabtu, 21 Mei 2016 | 12:59am
KESAN terbakar parut kekal di lengan seorang lagi anak lelaki, 16 tahun yang di curah petrol dan di cucuh api kerana juga tidak berpuas hati kerana berbadan gemuk di kediaman mereka dua tahun lalu. - Foto Ahmad Ismail
BENTUK fizikal Mohamad Amar yang dianggap gemuk oleh bapanya mengakibatkannya didera. - Foto Ahmad Ismail
RAHIMAH Hussin menunjukkan laporan polis. - Foto Ahmad Ismail
KESAN lebam di lengan akibat disebat menggunakan getah hos kuning. - Foto Ahmad Ismail
PEKERJA sosial di rumah perlindungan Pertolongan Wanita (WAO), Nazlina Abd Ghani. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Anak isteri derita angkara suami ikut ajaran sesat

PETALING JAYA: Suami terlalu taksub dengan ajaran sesat menjadikan bahtera perkahwinan yang dibina sejak 10 tahun lalu berantakan hingga memaksa Julia meminta cerai, selepas tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Ibu kepada tiga cahaya mata yang berasal dari Kedah ini, menjadi mangsa keganasan rumah tangga sekitar tahun 2011 dan melalui pengalaman getir membesarkan zuriat dengan pelbagai keperitan.

Namun, tidak mudah buat Julia, 31, kerana dia bukan saja tidak bekerja, malah tiada saudara-mara sebagai tempat mengadu nasib berikutan masalah keluarga sejak remajanya.


MANGSA dera kebiasaannya menghadapi pelbagai penderaan fizikal seperi dihantuk ke dinding, disepak, ditengking, dihina, selain tidak diberi nafkah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya dihantuk ke dinding, disepak, ditengking, dihina dan pelbagai penderaan fizikal lain, selain tidak diberi nafkah. Tanpa rasa malu, saya terpaksa mencari duit secara mengemis di Masjid Negara yang kebanyakan didominasi warga asing.

"Saya terpaksa bawa anak mengemis berikutan tiada sesiapa boleh menjaga mereka. Kali pertama ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diberi amaran.

"Kali kedua tertangkap, kami ditahan di atas kesalahan mengemis," katanya mengimbas kisahnya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, kira-kira enam tahun lalu sebelum mendapat perlindungan di rumah perlindungan Pertolongan Wanita (WAO), terletak di Petaling Jaya.

Julia yang ditemui wartawan BH di pejabat WAO baru-baru ini, kini aktif menggerakkan kerja sukarela yang membabitkan ibu tunggal, tampak pulih daripada trauma dan memulakan kehidupan baharu bersama anaknya.


NAZLINA Abd Ghani (tengah) menyambut kedatangan mangsa bagi mendapat perlindungan di rumah perlindungan Pertolongan Wanita (WAO). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

4 bulan duduk di WAO

Mengimbas kisah lalu, Julia berkata, dia pernah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk pemeriksaan berikutan penderaan fizikal yang dialaminya selama beberapa tahun itu.

"Selepas mendapat rawatan, JKM mengusulkan saya menghubungi WAO untuk perlindungan, sementara anak pula dijaga mereka. Saya bagai orang gila kerana kali pertama berpisah dengan anak.

"Empat bulan saya di rumah perlindungan di WAO dan diberikan kaunseling dari masa ke semasa, berkongsi cerita dengan rakan senasib, namun bersyukur keadaan saya tidak seteruk mereka," katanya.

Bagi Julia, tidak mudah menerima takdir kerana suami adalah segala-galanya, perceraian memberi satu tamparan hebat kepada dia yang tidak berpendidikan tinggi.

"Sebelum terpengaruh ajaran sesat, suami seorang yang bertanggungjawab, penyayang dan tidak pernah naik tangan. Malah setiap tahun kami dibawa melancong kerana perniagaan miliknya stabil.

"Apabila dia mula berubah, saya terpaksa mencari jalan kerana susu anak kehabisan, dapur tidak berasap dan kena berdikari walaupun masih bersuami," katanya.


MANGSA dera, Miza (bukan nama sebenar) di Women's Aid Organisation, Petaling Jaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Disisih mentua

Perniagaan suami mula goyah, membuatkan dia tertekan lalu melepaskan kemarahan kepada Julia, bertambah buruk lagi dia diisytiharkan bankrap, rumah, kenderaan mereka turut dilelong.

"Ketika itu suami tetap tidak ambil peduli, hanya dengar cakap tok guru yang dipanggilnya ayahanda. Kehidupan semakin tersepit tiada duit belanja dan saban hari ada saja orang datang menuntut hutang.

"Saya tiada daya kerana tiada tempat untuk dituju. Keluarga mentua pula menyisihkan kami kerana menganggap saya pembawa sial. Akhirnya saya menuntut cerai," katanya yang bangkit mengubah menjadi wanita ini lebih cekal.

Beliau kini berusaha mengasah bakat dengan mengikuti kelas masakan, jahitan dan bidang keusahawanan sebagai persiapan membina kehidupan yang lebih baik.

INFO:

* WAO menawarkan tempat tinggal sementara mengikut keperluan mangsa

* Tempohnya hingga tiga bulan.

* Diberikan kaunseling oleh pegawai sosial WAO dari masa ke masa

92 dibaca
Berita Harian X