Sabtu, 21 Mei 2016 | 9:35am

Zika: 279 wanita hamil di AS, Puerto Rico dipantau


Doktor menerangkan cara pencegah virus Zika, denggi dan Chikungunya kepada seorang wanita yang mengandung di sebuah hospital di San Juan, Puerto Rico. - Foto www.nbcnews.com

WASHINGTON: Pegawai kesihatan Amerika Syarikat memantau 279 wanita hamil di seluruh negara itu dan Puerto Rico yang mungkin dijangkiti virus Zika.

Daripada jumlah itu, 157 tinggal di 50 negeri di Amerika dan Washington manakala 122 lagi menetap di Puerto Rico, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Bukti makmal menunjukkan kemungkinan jangkitan virus Zika pada semua mereka.

Perangkaan baharu itu menunjukkan peningkatan dramatik daripada 110 wanita hamil dengan kes disahkan Zika yang dilaporkan CDC sehingga 11 Mei lalu, tetapi pihak berkuasa menyatakan bilangan itu tidak sama kerana sistem laporan baharu digunakan.

Pakar bersetuju virus Zika bawaan nyamuk menjadi dalang peningkatan kes mikrosefali, iaitu bayi dilahirkan dengan kepala dan otak lebih kecil berbanding biasa, selepas ibu mereka dijangkiti virus itu.

Di Brazil, 1,271 bayi dilahirkan dengan kepala kecil dan kerosakan pada otak sejak penularan virus berkenaan bermula di negara itu tahun lalu.

Virus berkenaan, yang selalunya cuma menyebabkan gejala selesema biasa tetapi boleh menjadi punca gangguan saraf, Sindrom Guillain-Barre Syndrome, disebarkan dua spesis nyamuk Aedes, boleh juga dipindahkan menerusi hubungan seksual.

CDC menggunakan dua pendaftaran berasingan untuk mengesan wanita hamil yang menetap di Amerika dan semua wilayah, manakala Puerto Rico menyimpan rekod berbeza.

"Kedua-dua sistem memasukkan wanita hamil dengan sebarang bukti kemungkinan jangkitan virus Zika, dengan atau tanpa gejala," kata ketua bersama Pasukan Kecacatan Kehamilan dan Kelahiran CDC, Denise Jamieson. - AGENSI

77 dibaca
Berita Harian X