Sabtu, 21 Mei 2016 | 6:56pm
PERKUBURAN Perang Commonwealth (CWG) Kem Terendak, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman
KERJA menggali dan mengumpulkan semula rangka serta beberapa anggota yang masih sempurna menerusi Ops Reunites.

Rangka 32 tentera, warga Australia akan dihantar pulang

MELAKA: Rangka 32 warga Australia yang dikebumikan di Perkuburan Perang Commonwealth (CWG) Kem Terendak, di sini, pada awal tahun 1960-an, akan dihantar pulang ke negara asal mereka hujung bulan ini.

Kerja menggali dan mengumpulkan semula rangka serta beberapa anggota yang masih sempurna menerusi Ops Reunites itu, dilakukan secara bersama oleh kedua-dua kerajaan, menerusi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Australia.

Fasilitator Ops Reunites, Datuk Dr Mohd Ilham Haron, berkata operasi berkenaan bermula dengan titipan surat diplomatik oleh kerajaan Australia kepada kerajaan Malaysia yang memohon bantuan untuk membawa keluar mayat warga negara terbabit yang dikebumikan di Malaysia.

Katanya, mayat berkenaan terdiri daripada anggota tentera dan ahli keluarga mereka serta penjawat awam Australia yang bekerja di negara ini, termasuk anggota tentera yang mati ketika konfrantasi, darurat dan perang Vietnam antara tahun 1964 hingga 1968.

"Susulan itu, Menteri Pertahanan Australia, Marise Payne mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada April lalu, mencapai kata sepakat untuk melaksanakan Ops Reunites.

"Bantuan berkenaan adalah sebagai membalas budi kepada kerajaan Australia yang banyak membantu Malaysia dalam operasi pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 2014," katanya ketika ditemui selepas operasi itu, hari ini.

Kerja menggali dan proses pengenalan rangka berkenaan dijangka selesai pada 24 Mei ini dan akan diserahkan kepada kerajaan Australia menerusi upacara penuh istiadat pada 31 Mei ini di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Pemangku Pengarah Muzium Tentera Darat, Mejar Abdullah Sani Mohamed, berkata Ops Reunites itu dimulakan dengan mengesan kedudukan sebenar kubur berkenaan menerusi bantuan Agensi Nuklear Malaysia pada 28 Februari lalu.

Katanya, kerja penggalian kubur dilakukan sejurus ketibaan pasukan bantuan dari Australia diketuai Pengurus Menjejaki Kehilangan Mangsa Perang Australia, Brian Manns.

"Kerja menggali kubur ini dapat mengesan semula tinggalan jasad yang masih elok melalui proses pengecaman berdasarkan rekod perubatan sedia ada, di samping pengesahan cap jari, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atau tanda tertentu yang ditemui dalam kubur si mati," katanya.

Sementara itu, Manns berkata, beliau bersama beberapa pakar dari negara terbabit kini sedang giat melakukan proses mengenal pasti jasad 24 anggota tentera dan lapan ahli keluarga mereka yang dikebumikan di CWG itu.

Berita Harian X