Ahad, 22 Mei 2016 | 10:46am

Sultan Nazrin pengerusi sesi khas sempena WHS di Istanbul

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Jabatan Penerangan

CAMBRIDGE: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Mercy Malaysia akan mempengerusikan sesi khas mengenai pembiayaan sosial Islamik yang akan diadakan sempena Sidang Kemanusiaan Sedunia (WHS) 2016 di Istanbul, Turki, bermula esok. 

Sultan Nazrin Shah yang akan menyentuh mengenai zakat, wakaf dan sukuk, akan mempengerusikan sesi khas itu atas kapasitinya selaku Pengerusi Bersama Panel Peringkat Tertinggi Untuk Dana Kemanusiaan. 

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, menyifatkan perkara itu sebagai pengiktirafan dunia kepada negara kerana persidangan itu dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  

Katanya, Mercy Malaysia juga satu-satunya pertubuhan kemanusiaan dari Asia Tenggara yang diberikan pengiktirafan untuk menganjurkan acara sampingan dan mengadakan pameran mengenai aktiviti Mercy Malaysia serta inovasi pembangunan komuniti berdaya tahan sempena sidang kemuncak dua hari itu. 

"Kami amat bangga dengan pengiktirafan kepada Sultan Nazrin dan kami yakin baginda boleh memberi input yang penting dalam sidang khas itu.  

"Sempena sidang itu juga, kita akan menganjurkan acara sampingan membincangkan mengenai pembangunan ASEAN berdaya tahan dalam konteks kemanusiaan pada hari kedua persidangan," katanya kepada BH. 

WHS yang julung kalinya dianjurkan PBB bertujuan mencari jalan penyelesaian efektif dalam menangani krisis kemanusiaan global melalui penyertaan negara, badan bukan kerajaan (NGO), agensi PBB, badan kemanusiaan dan pihak swasta. 

Inisiatif WHS dicetuskan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada Januari 2012 sebelum ia direalisasikan pada tahun ini dengan penyertaan lebih 6,000 wakil kerajaan, perniagaan, badan kemanusiaan, pertubuhan, organisasi sivil dan akademik. 

Matlamat utama sidang itu ialah memperkasakan penyampaian bantuan kemanusiaan di negara bergolak dan mencari jalan bagaimana komuniti dunia menangani krisis dengan lebih berkesan.  

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi International Council of Voluntary Agencies (ICVA) berharap pihaknya dapat menyumbang kepada resolusi yang akan dikeluarkan dan dipersetujui negara yang hadir pada akhir sidang itu. 

Beliau juga akan menjadi panel dalam persidangan meja bulat mengenai penjanaan dana kemanusiaan dan sidang khas mengenai kesihatan global. 

"Saya akan berkongsi pengalaman Mercy Malaysia di Nepal dan Kelantan dalam konteks kesihatan global yang mana kita menangani penularan wabak dengan kerjasama jabatan kerajaan," katanya merujuk kepada insiden gempa bumi di Nepal tahun lalu dan banjir besar di Kelantan pada hujung tahun 2014.

Berita Harian X