Isnin, 23 Mei 2016 | 1:08pm

Bayar zakat padi kepada amil dilantik

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengesahkan hanya menerima 1.045 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat pertanian (padi) membabitkan nilai RM38 juta semusim.

Jumlah itu dianggap terlalu kecil berbanding purata RM5.5 juta yang dibayar kira-kira 3,000 pesawah sepanjang tahun, iaitu membabitkan dua musim penanaman.


Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Ghazali Yaacob, berkata pihaknya percaya terdapat petani yang mengambil inisiatif menyerahkan zakat secara terus kepada asnaf di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata lebih baik zakat berkenaan dibayar kepada amil dilantik untuk memastikan agihan zakat dapat dibuat secara sempurna kepada asnaf yang layak.

"Sehingga 8 Mei lalu, kita menerima kutipan zakat pendapatan lebih RM42 juta, namun membuat RM64 juta agihan kepada golongan asnaf.

"Wang agihan itu termasuk zakat yang diterima tahun lalu sebanyak RM140 juta," katanya selepas menyerahkan 12,645 kampit beras fidyah daerah Kota Setar dan Pokok Sena di perkarangan LZNK di sini, pagi ini.

Sebanyak 53,073 kampit beras fidyah akan diagihkan secara berperingkat di setiap zon bermula hari ini sehingga Khamis depan.

Mengulas agihan zakat, Ghazali berkata, ia dilakukan dalam pelbagai bentuk bantuan sama secara bulanan atau tahunan, membina dan memperbaiki rumah termasuk bantuan di luar jangka akibat bencana alam dan sebagainya.

"Dianggarkan sehingga hujung tahun ini, LZNK akan menerima RM145 juta zakat berkenaan," katanya.

Berita Harian X