Isnin, 23 Mei 2016 | 1:16pm

KLIA Aeropolis, bandar lapangan terbang kelas dunia

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Badlisham Ghazali (dua dari kanan) mengenai model pembangunan KLIA Aeropolis pada majlis Pelancaran KLIA Aeropolis hari ini.
Turut hadir Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (empat,kanan). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) melancarkan KLIA Aeropolis, yang bakal mengubah kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi sebuah bandar lapangan terbang berkelas dunia.

Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali, berkata KLIA Aeropolis dijangka mampu menyumbang lebih RM30 bilion kepada ekonomi negara dalam tempoh 15 tahun.

"Sekarang KLIA telah menerima lebih 50 juta penumpang setiap tahun dengan lebih 60 penerbangan di lebih 130 destinasi langsung.

"Dengan pembangunan KLIA Aeropolis ini, kami juga berharap Malaysia mampu menjadi hab kargo udara dan menyasarkan pertumbuhan 5.0 peratus trafik kargo global dan tempatan," katanya pada majlis pelancaran logo KLIA Aeropolis di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Kira-kira 30 peratus daripada kawasan tanah KLIA Aeropolis seluas 100 kilometer persegi diperuntukkan khusus bagi pembangunan lapangan terbang.

KLIA Aeropolis bakal mengubah landskap ekonomi kawasan yang mengelilingi KLIA serta membantu menyokong aktiviti lain, termasuk perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembuatan dan perkhidmatan.

Pada majlis itu, MAHB juga mengumumkan lima perjanjian kerjasama strategik membabitkan kluster kargo udara dan logistik, di samping aeroangkasa dan penerbangan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X