Isnin, 23 Mei 2016 | 5:11pm

PM lancar 'FELDA laut' untuk tingkat hidup nelayan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingham Issace John pada majlis pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Projek Akuapolitan Kuala Nerus, satu program bersepadu terbaharu kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat nelayan dilancarkan hari ini.

Pelancaran program yang memiliki tiga teras strategik, iaitu pembangunan modal insan, pembangunan ekonomi menerusi aktiviti komersil serta infrastruktur dan fizikal itu, disempurnakan Perdana Menteri di tapak utama projek berkenaan di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini.

Projek itu bakal mewujudkan ekosistem perikanan yang kondusif, bersepadu dan mapan, termasuk dengan pembinaan terminal perikanan baharu, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar serta restoran.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata menerusi pelaksanaan projek seumpama itu, ia bukan saja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah peluang pelaburan dan merancakkan lagi sektor perikanan dan pelancongan negeri.

"Projek Akuapolitan boleh dianggap sebagai 'FELDA laut', satu skim yang mirip FELDA tapi disesuaikan untuk nelayan. Kita selama ini sudah tahu mengenai kejayaan 'FELDA darat', sehingga ia diperakui di peringkat antarabangsa.

"FELDA darat dicetuskan Tun Abdul Razak Hussein, ramai sudah berjaya. Sebagai lanjutan kejayaan itu, maka hari ini ayahanda (Najib) kita cetuskan pula FELDA laut, sudah pasti manfaatnya besar untuk kita semua," katanya berucap pada majlis pelancarannya, di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingham Issace John, serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata, pelbagai inisiatif sudah dilaksana kerajaan dalam menaiktaraf hidup masyarakat nelayan, namun pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi kedua-dua rantaian nilai perikanan dan bukan perikanan demi memastikan transformasi yang lebih berkesan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu kira-kira 30,000 pengunjung termasuk penduduk setempat serta yang hadir dari daerah berdekatan.

Projek Akuapolitan Kuala Nerus dibangunkan hasil kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri, dengan fasa permulaannya membabitkan penyertaan seramai 400 orang nelayan bersama keluarga mereka.

Info :

Tiga teras Projek Akuapolitan Kuala Nerus

1) Pembangunan Modal Insan

*Melaksana latihan kemahiran dan keusahawanan empower ECER (200 peserta terdiri daripada penganggur, ibu tunggal dan suri rumah sudah dilatih setakat ini)

*Latihan kemahiran akademik empower ECER (300 peserta dari 7 sekolah dilatih setakat ini)

*Entrepreneur ECER

*Anjakan paradigma

2) Aktiviti Komersil

i-Aktiviti berasaskan perikanan;

*Perikanan laut dalam dan air tawar

*Pemprosesan

*Restoran berasaskan ikan

*Perikanan rekreasi

-Aktiviti tidak berasaskan perikanan

*SME Outlet

*Perhotelan

*Panggung budaya

*Muzium Maritim

*Living Fishing Muzium

*Pembaikan dan Penyelenggaraan bot

3) Infrastruktur dan fizikal

*Pembangunan integrasi fizikal di Pusat Akuapolitan seperti kompleks Industri Kecil Sederhana (di Kampung Sebarang Pak Abu)

*Jalan penghubung dinaik taraf

*Perumahan

*Pembaikan infrastruktur (penyelenggaraan bot)

Berita Harian X