Selasa, 4 November 2014 | 6:06pm

20 pesawat domestik AirAsia dilengkapi WiFi

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd melancarkan perkhidmatan WiFi dalam penerbangan dikenali roKKi Chats bermula hari ini yang ditawarkan pada harga promosi RM5 bagi penggunaan data hingga tiga megabait (3MB).

Perkhidmatan WiFi pertama seumpamanya yang ditawarkan syarikat penerbangan tempatan itu, bermula dengan empat pesawat, sebelum diluaskan kepada 20 pesawat bagi penerbangan domestik menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, berkata syarikat akan mengembangkan perkhidmatan itu kepada 80 pesawat bagi laluan domestik menjelang suku kedua tahun depan, sebelum diperluaskan kepada laluan antarabangsa.

"roKKi Chats membolehkan penumpang AirAsia menggunakan aplikasi perkhidmatan mesej segera seperti WeChat, Whatsapp dan LINE ketika berada dalam pesawat menuju ke destinasi masing-masing," katanya pada pelancaran perkhidmatan itu di sini hari ini.

Majlis perasmian roKKi Chats disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi; Ketua Bahagian Kejuruteraan Serantau AirAsia, Anaz Ahmad Tajuddin; serta Ketua Pendapatan Sampingan AirAsia, Kenny Wong.

Menerusi pengenalan roKKi Chats, AirAsia dianugerahkan Malaysia Book of Records kerana menjadi syarikat penerbangan pertama menawarkan perkhidmatan WiFi dalam penerbangan pada harga rendah.

Dalam tempoh hingga dua bulan akan datang, AirAsia menawarkan perkhidmatan WiFi itu pada harga promosi RM5/3MB sebelum ia ditawarkan pada harga normal RM8/3MB selepas tempoh itu.

Berita Harian X