Isnin, 23 Mei 2016 | 5:40pm

Malaysia perintis projek akuapolitan - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat replika model pembangunan Projek Akuapolitan Kuala Nerus pada majlis pelancarannya di sini hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Malaysia berjaya menjadi perintis kepada pelaksanaan projek pembangunan nelayan konsep moden ala FELDA menerusi pengenalan Projek Akuapolitan Kuala Nerus hari ini," kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek menelan kos RM180 juta itu, dengan fokus menaik taraf sosio ekonomi masyarakat nelayan bakal menjadi pemangkin kepada golongan itu untuk menjadi lebih berjaya dan proaktif.

"Kerajaan BN (Barisan Nasional) dan UMNO sudah berjaya membuat sesuatu yang orang lain gagal buat. Terbukti kita berjaya cetuskan satu lagi idea baharu iaitu pembangunan nelayan ala FELDA yang kali ini bersandarkan sumber laut.

"Belum pernah dibuat oleh mana-mana negara dan Malaysia adalah perintis. Kita mampu buat sebab apa? Sebab politik kita yang stabil. Kalau kita porak peranda dan terumbang-ambing, maka kita tidak mampu buat projek seumpama ini," katanya berucap pada majlis Pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus, di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingham Issace John, serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

MODEL pembangunan projek Akuapolitan Kuala Nerus di Muara Utara Hujung Tanjung, Seberang Takir. - Foto Aswadi Alias

NAJIB melambai kepada perarakan bot nelayan selepas merasmikan majlis pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus di Seberang Takir hari ini. - Foto BERNAMA

Najib berkata, menerusi pengenalan projek seumpama ini, pelbagai pembangunan bakal dilaksana yang sudah pasti memberi manfaat langsung kepada semua nelayan setempat.

Malah, katanya, kerajaan juga menyasarkan menjelang 2020, setiap peserta yang menyertai program ini akan memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan, hasil daripada pelbagai punca kegiatan huluan dan hiliran di kawasan berkenaan.

"Kita nak buat satu perubahan transformasi yang tidak pernah diimpikan nelayan di sini. Mereka akan jadi nelayan untuk bot laut dalam. Mereka juga akan terbabit dengan aktiviti hiliran seperti ternakan udang dan udang karah, selain mengusahakan restoran makanan laut.

"Mereka (nelayan) juga akan dapat rumah berharga tidak kurang RM50,000 dengan konsep sebuah pangsapuri. Kita juga akan wujudkan koperasi, mereka bukan awak-awak lagi tapi menjadi pemilik saham dalam koperasi selepas ini, mereka sudah jadi sebahagian daripada pemilik saham koperasi. Ini semua akan dapat dihasilkan dengan terlaksananya projek ini," katanya.

Berita Harian X