Isnin, 23 Mei 2016 | 6:21pm

Pindaan Akta Perhutanan kawal pencerobohan hutan

KESAN kemusnahan hutan di sekitar kawasan tadahan air iaitu di kaki banjaran Gunung Dulang jelas kelihatan akibat kegiatan penerokaan hutan yang tidak terkawal. - Foto BERNAMA

GERIK: Akta Perhutanan Negara 1984 akan dipinda tahun depan bagi memberi kuasa perundangan kepada kerajaan Pusat menangani masalah pencerobohan kawasan hutan dan mengawal selia hutan yang diwartakan sebagai hutan simpan secara lebih dinamik. 

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, berkata draf pindaan itu sedang dirangka kementerian dan dijangka siap pada tahun ini untuk dibentangkan di Parlimen.  

"Pindaan itu dilakukan susulan beberapa kes pencerobohan hutan tidak terkawal di seluruh negara khususnya bagi tujuan pembangunan dan kegiatan mencuri balak sehingga ada negeri dilanda banjir besar baru-baru ini yang menyebabkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa. 

"Justeru, pindaan ini akan membantu kerajaan dan agensi Pusat untuk memantau, menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penceroboh hutan serta mengawal selia hutan diwartakan sebagai hutan simpan, tanpa mengenepikan kuasa negeri," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Ekspedisi Saintifik Keempat Hutan Belum, anjuran Yayasan Pulau Banding (PBF), di Pulau Banding, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBF, Datuk Dr Abdul Rashid Ab Malik dan Penasihat Teknikal PBF, Dr Daniel Baskaran K. 

Mengulas lanjut, Megat Sany berkata, usaha memelihara dan mengekalkan kawasan hutan memerlukan komitmen dan kerjasama kerajaan negeri kerana bidang kuasa pengurusan hutan tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

"Kementerian menerusi Jabatan Perhutanan hanya berkuasa menjaga kawasan diwartakan sebagai hutan simpan kekal (HSK). Selain HSK, pengurusan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Itu sebabnya kita memerlukan kerjasama kerajaan negeri untuk menjaga hutan kita," katanya. 

Beliau turut berkata, penyertaan daripada sektor swasta dan korporat juga amat penting untuk membantu menjaga serta memulihara hutan sebagai khazanah negara penting untuk kepentingan generasi akan datang.

Berita Harian X