Isnin, 23 Mei 2016 | 6:53pm

MPR Indonesia lawat Malaysia tiga hari

DR Zulkifli Hasan. - Foto ihsan Miraj News

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri yang menganjurkan Lawatan Familiarisasi ke Malaysia akan menerima kunjungan Ahli Majlis Pemesyuaratan Rakyat (MPR) Indonesia selama tiga hari bermula esok.

Lawatan itu dibuat untuk mengeratkan hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia terutamanya membabitkan kedua-dua pemimpin selain mencerminkan komitmen kedua negara terbabit bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala rapat yang sekian lama terjalin.

Delegasi seramai 16 ahli terdiri daripada Wakil Ketua MPR dan Ketua Fraksi parti politik Republik Indonesia diketuai Dr Zulkifli Hasan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka juga akan mengadakan lawatan ke Parlimen Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain melakukan pertemuan dengan Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI), Tan Sri Rais Yatim.

Indonesia adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia selain ketiga terbesar di kalangan negara ASEAN.

Jumlah dagangan dua hala kedua negara adalah sebanyak RM60.16 bilion (USD15.25 bilion) bagi tahun 2015.

Berita Harian X