Selasa, 24 Mei 2016 | 1:36pm

Kerajaan Selangor disaman tiga persatuan alam sekitar isu EKVE

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan alam sekitar mengemukakan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Kerajaan Negeri Selangor dan dua lagi yang mengeluarkan permit bagi kerja pembinaan serta pembalakan untuk projek Lebuh Raya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE).

Persatuan Pencinta Alam Sekitar, Treat Every Environment Special Sdn Bhd dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) juga memohon perintah untuk membatalkan keputusan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor melalui notis pada 9 Januari lalu yang menutup Taman Rimba Ampang bagi memberi laluan kepada pembinaan projek terbabit.

Taman Rimba Ampang adalah akses utama bagi orang awam ke Hutan Simpan Ampang yang terletak dalam Taman Warisan Selangor.

Melalui permohonan kebenaran yang difailkan pada 11 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, ketiga-tiga pemohon menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebagai responden pertama hingga ketiga.

Pemohon memohon perintah untuk membatalkan semua kebenaran, permit, lesen atau bentuk dokumen berkaitan yang diberikan responden berhubung tindakan terhadap hutan simpan itu.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan responden melanggar Seksyen 10,11,12 dan 13 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 11 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985, Seksyen 6B Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dn Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Berita Harian X