Selasa, 4 November 2014 | 8:41pm

Penurunan harga minyak beri kesan positif kepada lebihan dagangan Malaysia

PENURUN harga minyak hari ini yang dipaparkan menerusi laman web http://www.oil-price.net/

KUALA LUMPUR: Penurunan harga minyak akan memberi impak positif kepada lebihan perdagangan Malaysia berikutan kedudukan negara sebagai pengimport bersih minyak sejak Januari tahun ini, tetapi ia dijangka tidak ketara berikutan defisit perdagangan minyak yang kecil, kata sebuah firma penyelidikan.

RHB Research berkata Malaysia menjadi pengimport bersih minyak tahun ini apabila ia mengimport jumlah bersih sebanyak RM3 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2014 berbanding eksport bersih RM2.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Kami mengunjurkan bagi setiap penurunan AS$10 (RM33.17) setong dalam purata harga minyak mentah, hasil kerajaan akan berkurangan sebanyak RM4 bilion, tetapi ini akan diimbangi penurunan yang sama dalam perbelanjaan menerusi pengurangan subsidi bahan api, dengan potensi pengurangan RM2.5 bilion," kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata kerajaan juga akan mendapat manfaat daripada penurunan aktiviti penyeludupan kerana margin keuntungan lebih rendah kepada penyeludup.

Selain itu, ia berkata kerajaan mengunjurkan penjimatan kira-kira RM5 bilion termasuk ketirisan menerusi aktiviti penyeludupan daripada pelaksanaan skim bahan api bersasar dan menetapkan harga bahan api di stesen minyak kepada harga pasaran.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata hasil minyak kerajaan dijangka terjejas oleh harga minyak global yang lemah dan boleh turun kira-kira 15 peratus atau RM8.9 bilion, dengan mengandaikan harga minyak mentah Brent rendah pada AS$85 (RM282) setong berbanding unjuran kerajaan pada AS$100 (RM332) setong.

Sebelum mengambil kira penurunan harga minyak mentah sekarang, hasil minyak kerajaan diunjur jatuh kepada kira-kira RM59.1 bilion tahun depan atau 25.1 peratus daripada jumlah hasil kerajaan, berbanding RM64.6 bilion atau 30 peratus daripada hasil kerajaan tahun lalu.

Unjuran rendah itu adalah disebabkan dividen rendah oleh syarikat minyak nasional Malaysia, PETRONAS dan penurunan cukai pendapatan petroleum, dan walaupun royalti meningkat sedikit, ia masih tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan hasil.

Bagaimanapun, ia berkata PETRONAS mungkin mengekalkan pembayaran dividen pada RM27 bilion buat sementara waktu bagi membantu kerajaan tahun depan sehingga pelaksanaan tahun penuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2016.

Selain itu, ia berkata harga minyak mentah rendah boleh menjejaskan aktiviti pelaburan minyak dan gas di negara ini yang mana kesan itu boleh dilihat kemungkinan pada 2016 sekiranya PETRONAS memutuskan untuk menangguhkan pelaburannya berikutan penurunan harga minyak mentah yang berterusan.

"Kesan pada 2015 dijangka tidak ketara berikutan kebanyakan pelaburan sudah dibuat dan pastinya tidak akan dibatalkan atau ditangguhkan," kata firma penyelidikan itu.

RHB Research berkata walaupun penangguhan atau pembatalan pelaburan minyak dan gas boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara pada 2016, ia dijangka boleh diurus kerana pertumbuhan eksport diunjur bertambah baik dan boleh mencatatkan prestasi lebih kukuh daripada dijangkakan berikutan harga minyak mentah rendah. - BERNAMA

Berita Harian X