Selasa, 24 Mei 2016 | 3:43pm

Sasaran 145 produk R&D dikomersialkan

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Madius Tangau mencuba My Fon ketika pelancaran Quantum Breakpads dan MyFon, di Agensi Remote Sensing Malaysia hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Park Malaysia Datuk Dr Azman Shahidin - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 145 produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) disasar untuk dikomersialkan sepanjang tahun ini sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2016.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau, berkata jumlah itu ditetapkan sebagai indeks petunjuk prestasi (KPI) khas bagi 25 organisasi, agensi dan institusi pengajian di bawah sembilan kementerian yang menguruskan R&D.

Katanya, sasaran itu dijangka mampu menarik ramai penyelidik menghasilkan pelbagai produk dan meningkatkan jumlah pengkomersialan produk yang dihasilkan agensi dan universiti.

"Saya mengharapkan tahun ini menjadi permulaan bagi pemikiran paradigma baharu, khususnya mereka yang terbabit dalam R&D.

"Penyelidik diharap bukan sekadar mengeluarkan paten atau harta intelek semata-mata, tetapi menghasilkan produk berdasarkan pasaran dan mampu menyelesaikan masalah harian manusia," katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran MCY 2016, di sini, hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan tahun 2016 sebagai MCY ketika Pembentangan Bajet 2016 sebagai usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dari institusi penyelidikan, organisasi dan agensi tempatan.

Berita Harian X