X
Selasa, 24 Mei 2016 | 6:05pm

8 kawasan dimusnahkan dalam Ops Gading diceroboh semula

CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak lapan kawasan yang dimusnahkan pada Ops Gading kerana diteroka secara haram didapati dimajukan semula oleh pengusaha dengan pelbagai aktiviti.

Perkara itu dikesan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mendapati ada pencerobohan baru itu dan tindakan akan diambil ke atas pengusaha berkenaan.

Setiausaha MKN, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak lapan kawasan dikenalpasti diteroka semula selepas ia dimusnahkan pada Ops Gading sebelum ini manakala tiga kawasan pencerobohan baharu turut dikesan.

Katanya, daripada jumlah diteroka empat dikesan di Ringlet, dua di Sungai Mention serta masing-masing satu di Kampung Raja dan Lembah Bertam manakala kawasan pencerobohan baharu dikesan di Blue Valley dan Lembah Bertam.

"Kawasan pencerobohan baharu dikesan membabitkan kawasan seluas kira-kira 7 hektar di kawasan Blue Valley dan Lembah Bertam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Ops Gading II di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands di sini hari ini.

Alias berkata, sebanyak 84 kertas siasatan dibuka membabitkan penerokaan haram dengan dua daripadanya sudah pun disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000.

Katanya, ketika ini sebanyak 83 peratus kawasan penerokaan haram sudah dibersih dan dimusnahkan membabitkan kawasan seluas kira-kira 2,258 hektar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X