Rabu, 25 Mei 2016 | 12:11am
AMIN bersama kenderaa mewah yang mampu dimilikinya hasil kejayaan membangunkan syarikat JenamaSendiri.Com - Foto Owee Ah Chun
JenamaSendiri.Com disasarkan menjadi syarikat kosmetik tempatan pertama disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun. - Foto Owee Ah Chun
AMIN yakin sesiapa sahaja boleh berjaya dalam perniagaan kosmetik, asalkan mempunyai strategi pemasaran dan promosi yang berkesan. - Foto Owee Ah Chun
LAMAN web JenamaSendiri.Com dengan paparan gambar Amin (kiri) bersama Jutawan Pengasas Que Puteh, Dato Seri Vida. - Sumber jenamasendiri.com

JenamaSendiri.Com bantu lahirkan usahawan kosmetik


SERDANG: Kini sesiapa saja boleh menjadi usahawan kosmetik dengan produk jenama sendiri, termasuk peluang menembusi pasaran antarabangsa.

Sejurus menghasilkan produk terbabit, mereka hanya perlu menanti panggilan pelanggan dan memberi layanan sebaik mungkin bagi memastikan urus niaga berjalan lancar.

Kedengarannya agak mustahil, namun itu hakikatnya kerana penghasilan produk kosmetik kini kian mudah, ekoran kewujudan industri yang menyokong usaha terbabit seperti dilakukan syarikat, JenamaSendiri.Com.

Pengarah Negara bagi JenamaSendiri.Com, Dr Amin Datuk Abdullah, berkata perniagaan dikendalikan syarikatnya didatangkan menerusi tiga kategori dan pakej pengeluaran produk bermula kos RM11,000 hingga RM25,000.


PROSES pengeluaran dalam kilang JenamaSendiri.Com menggunakan mesin moden.

Beliau berkata, setiap pakej terbabit dilengkapi proses yang perlu dalam penghasilan produk termasuk pembungkusan, pemasaran, pengiklanan dan promosi.

"Selain penghasilan produk, kami turut membantu usahawan mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan jenama impian pelanggan berjaya memasuki pasaran," katanya kepada BH di kilangnya di sini.

Amin berkata, pelanggan boleh memilih ramuan dikehendaki untuk produk yang mahu dihasilkan, sebelum ia dirumuskan ahli kimia bertauliah syarikatnya mengikut spesifikasi diberikan.

"Contohnya jika bakal usahawan atau pelanggan ingin mengeluarkan produk krim muka mengandungi kolagen atau vitamin C, ahli kimia kami akan membantu merumuskan produk terbabit mengikut bau, warna dan jenis yang dikehendaki.


KILANG JenamaSendiri.Com mengamalkan tahap kawalan kebersihan yang ketat.

"Kami memberi jaminan semua ramuan digunakan adalah halal dan menggunakan bahan yang dibenarkan," katanya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa jenama produk kecantikan tempatan yang proses pengeluaran dan pemasarannya dikendalikan syarikat itu tetapi meminta tidak didedahkan atas faktor kerahsiaan pelanggan mereka.

Amin berkata, ketika ini, JenamaSendiri.Com mengendalikan lebih 250 usahawan produk kecantikan, kebanyakannya menembusi pasaran antarabangsa seperti Korea, Jepun, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Dubai, Indonesia dan beberapa negara di Eropah.

"Siapa sahaja boleh berjaya sebenarnya, yang penting adalah strategi pemasaran dan promosi dilakukan perlu berkesan.


PEKERJA sedang mengawasi proses pengeluaran produk di kilang JenamaSendiri.Com.

"Kami memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media sosial dan pengiklanan di media arus perdana, termasuk radio dan televisyen terkemuka," katanya.

Ditanya mengenai tahap keselamatan produk dihasilkan JenamaSendiri.Com, Amin berkata, orang ramai tidak perlu khuatir kerana setiap produk dihasilkan kilang syarikat itu memenuhi piawaian ditetapkan KKM.

"Ada tiga perkara utama perlu dipandang serius semua individu berminat menceburi perniagaan ini. Pertama, mereka perlu memastikan kilang yang dipilih, berada dalam zon perindustrian kerana semua jenis kilang tidak boleh beroperasi di kawasan lain.

"Kedua, mereka perlu memastikan kilang terbabit memiliki lesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketiga, perlu memastikan nombor siri dikeluarkan KKM disenaraikan dalam laman web kementerian terbabit,"

katanya.


SEBAHAGIAN daripada proses pengeluaran produk yang dijalankan dalam kilang milik JenamaSendiri.Com.

Beliau mengakui, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menipu orang ramai dengan menghasilkan produk menggunakan bahan ramuan sendiri.

"Bakal usahawan perlu memastikan sesiapa saja yang dipilih untuk membantu menghasilkan produk, memiliki reputasi yang baik kerana nama baik mereka bakal bergantung kepada produk terbabit," katanya.

Boleh dihubungi menerusi laman instagram @dr_aminabdullah dan laman web www.jenamasendiri.com, Amin turut memiliki rangkaian perniagaannya di Perak; Singapura dan Indonesia.

"Sasaran kami seterusnya dalam tempoh tiga tahun akan datang, JenamaSendiri.Com mampu menjadi syarikat kosmetik tempatan pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya yang mewarisi perniagaan itu dari arwah bapanya sejak 2009.

Beliau berkata, JenamaSendiri.Com memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) tahun ini, manakala RM1 juta lagi untuk tujuan pemasaran.

"Tahun ini, syarikat turut melabur RM500,000 untuk menghasilkan bekas dan botol kosmetik di Malaysia, bersama rakan perniagaan dari China," katanya yang juga bapa tunggal kepada seorang anak perempuan itu.

Amin yang berlatar belakang Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata JenamaSendiri.Com disasarkan meraih pendapatan sehingga RM20 juta tahun ini dengan pertambahan 5 peratus untuk setiap tahun mendatang.

77 dibaca
Berita Harian X