Rabu, 25 Mei 2016 | 12:57pm

Biarlah Nazim umum tarikh nikah - Bella Dally

NAZIM Othman dan Bella Dally.

KUALA LUMPUR: Berpegang prinsip tidak terlalu mendedahkan kisah peribadi, pelakon Bella Dally dan tunangnya, Nazim Othman lebih selesa merencana kerjaya seni masing-masing buat masa ini.

Bella atau nama penuhnya Nabilah Ali Dally, 26, berkata tiada apa yang boleh dikongsi memandangkan sehingga kini mereka masih belum dapat mengumumkan tarikh pernikahan sebaliknya menyerahkan kepada rezeki dan penajaan.

"Dari dulu saya kurang gemar bercerita kisah peribadi berbanding kerjaya. Malah, lebih baik sekiranya perancangan perkahwinan diumumkan sendiri oleh Nazim kerana tidak manis rasanya dilakukan pihak perempuan.

"Buat masa ini kami sibuk dengan kerjaya hingga tidak sempat untuk duduk berbincang mengenai hal kahwin. Mengenai soal tajaan, kami menerima baik andai kata ada pihak yang berhasrat untuk menaja tetapi perlu bersesuaian dengan tema kami," katanya.

Sementara itu, Bella kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Cinta 11 Syarat terbitan Global Station di Gerik, Perak yang turut meninggalkan emosi buat dirinya apabila pengarah drama itu rebah dan menghembuskan nafas terakhir di lokasi.

Keoi atau nama sebenarnya Khairul Amri Khalid, 44, dilaporkan rebah kira-kira jam 8.13 malam pada 19 Mei lalu selepas menghadapi masalah sesak nafas.

"Saya berada di dalam tandas ketika dia rebah dan keadaan menjadi kecoh. Kami berehat selama dua hari bagi menghormati pemergian arwah dan kembali bekerja meneruskan baki babak drama rantaian itu.

"Berita kematian arwah sangat mengejutkan seluruh warga produksi kerana berlaku secara tiba-tiba. Ia menyatukan kami yang berdepan dengan situasi cemas pada ketika itu," katanya lagi yang menganggap Allahyarham sebagai pengarah bertoleransi dan baik hati.

Berita Harian X