Rabu, 25 Mei 2016 | 4:21pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Tipu tapak bazar, duda dipenjara setahun, satu sebatan

AYER KEROH: Seorang duda lima anak dijatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memperdaya seorang wanita untuk membayar deposit RM500 bagi sewa tapak bazar Ramadan di Klebang yang tidak wujud, dua minggu lalu.

Tertuduh, Shaharuddin Seman, 48, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan dua pertuduhan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati memperdayakan Norsaidatulerani Nordin, 23, dengan menawarkan tapak bazar Ramadan di Klebang yang tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200 di sebuah restoran di Taman Melaka Raya, Melaka Tengah pada jam 12.30 tengah hari, 13 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan perkara sama dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM300 di sebuah flet di Bandar Hilir, daerah sama pada jam 7 malam hari sama.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu supaya hukuman bagi kedua-dua pertuduhan dijalankan serentak atas alasan mempunyai lima anak dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas mendengar kedua-dua rayuan dan permohonan, mahkamah menetapkan hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 22 Mei lalu dan satu sebatan terhadap tertuduh.

Berita Harian X