Rabu, 25 Mei 2016 | 8:22pm

Rampasan kereta klon di NS berkurangan


PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Azrin Borhan melihat kereta sita pada lelongan awam kenderaan sita di JPJ Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Sindiket kereta klon di negeri ini kini dipercayai mengambil langkah berwaspada berikutan tindakan tegas pihak berkuasa membanteras perbuatan itu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Azrin Borhan, berkata ini berikutan jumlah kereta klon yang dirampas semakin berkurangan.

Beliau berkata, bagi tempoh antara Januari sehingga minggu ini, hanya 29 kereta klon dirampas berbanding 35 bagi kereta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Ada pemilik kereta klon menyerah diri apabila menyedari mereka menggunakan kereta itu. Ini menunjukkan orang ramai semakin peka mengenai kesalahan menggunakan kereta klon," katanya pada sidang media selepas lelongan awam kenderaan sita di JPJ negeri di sini, hari ini.

Azrin berkata, antara kereta yang disita kerana dipercayai klon termasuk Honda Stream, Toyota Wish dan Vios yang dibeli dengan harga serendah RM5,000 hingga RM20,000.

Sementara itu, katanya, JPJ negeri berjaya menjual 51 motosikal, tujuh kereta dan dua lori bernilai RM98,200 dalam lelongan awam hari ini.

"Seramai 63 pembida menghadiri lelongan ini membabitkan kenderaan disita kerana cukai jalan tamat tempoh dan tidak dituntut pemilik," katanya.

Katanya, kenderaan paling murah berjaya dilelong adalah sebuah motosikal Suzuki RC80 bernilai RM150, manakala nilai tertinggi adalah lori HICOM bernilai RM25,800.

Berita Harian X