Rabu, 25 Mei 2016 | 8:54pm

Jentera UMNO Teluk Intan sedia kongsi pengalaman


KETUA UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

TELUK INTAN: Jentera UMNO Teluk Intan bersedia membantu Barisan Nasional (BN) Perak untuk berkongsi acuan pengalaman ketika memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dua tahun lalu dalam menghadapi PRK Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, berkata 30 petugas akan dihantar untuk PRK Kuala Kangsar bagi menjaga peti undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bendang Kering di Sayong.

Katanya PDM Bendang Kering, Sayong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan itu mempunyai 902 pengundi.

"PDM Bendang Kering semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dulu menyaksikan sebanyak 522 undi memihak kepada BN.

"Kami harap PDM kawasan itu kekal dimenangi BN dan kami bersedia berkongsi pengalaman dan bentuk gerak kerja ketika BN memenangi PRK Parlimen Teluk Intan bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kekal milik BN seperti yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahad lalu semasa mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata BN Perak akan menggunakan acuan kejayaan PRK Parlimen Teluk Intan dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar berikutan telah memberikan keberhasilan agak memberangsangkan.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei 2014, calon BN Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 138 undi.

PRK Kuala Kangsar perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, korban nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban ialah Ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun. - BERNAMA

358 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »