Khamis, 26 Mei 2016 | 12:10am
LANDASAN keretapi yang terbiar di Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad
KAWASAN landasan keretapi yang terbiar di bandar Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KAWASAN landasan keretapi yang terbiar berhampiran balai polis Mambau, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KAWASAN landasan keretapi yang terbiar berhampiran Masjid Rasah, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Negeri Sembilan mahu kereta api kembali ke Port Dickson


PORT DICKSON: Selepas lapan tahun terhenti, Kerajaan Negeri Sembilan berharap perkhidmatan kereta api menghubungkan Port Dickson dengan Seremban, dihidupkan kembali dengan keutamaan kepada usaha menarik pelancong.

Ketiadaan penyelenggaraan menyebabkan landasan sepanjang 38 kilometer yang masih wujud dan utuh, bermula dari Seremban, melalui pekan kecil seperti Rasah, Mambau dan Siliau, berakhir di Port Dickson itu, semakin terbiar dilitupi semak samun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan, mencadangkan laluan terbabit dihidupkan semula sebagai strategi menarik pengunjung ke bandar pelancongan itu, kerana tidak mahu landasan sedia ada yang sebahagiannya masih elok dibazirkan.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita sudah bersuara meminta ia dihidupkan kembali, terserah kepada Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ketika dihubungi BH, berkata projek naik taraf itu yang dapat menambah baik sistem pengangkutan di antara Seremban dan Port Dickson, masih di peringkat kajian jangka panjang.


KAWASAN landasan keretapi yang terbiar di bandar Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, kajian itu penting untuk memastikan projek terbabit seiring pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang akan membentuk bandar raya moden.

"Kita akui, landasan sudah ada dan tindakan yang perlu dilakukan hanya kerja menaik taraf. Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat kajian kementerian," katanya.

Perkhidmatan kereta api antara Seremban dan Port Dickson bermula sejak 1891, dikendalikan Syarikat Kereta Api Sungai Ujong, sehingga perkhidmatan ini berakhir pada tahun 2008.

Pada peringkat awal operasi, kereta api terbabit digunakan untuk mengangkut barangan seperti makanan, minyak, simen dan gas petroleum cecair (LPG) yang tiba di pelabuhan di sini, untuk dibawa ke Seremban.

Pengangkutan kereta api dipercayai mula tidak relevan susulan pembukaan lebuh raya menghubungkan dua bandar terbabit.


LANDASAN yang terbiar dilitupi semak samun. - Foto Hazreen Mohamad

Bekas kakitangan KTMB, Ahmad Abdul Raffar, 61, pernah merasai era kegemilangan perkhidmatan itu sekitar tahun 1970-an.

Dia yang mula bekerja sebagai pemunggah barang di Stesen Kereta Api Seremban ketika berusia 24 tahun pada 1979, ditukarkan ke Stesen Kereta Api Port Dickson pada tahun 1982, sebagai penyambung gerabak.

"Saya mengendalikan gerabak kargo, tetapi saya masih ingat perkhidmatan kereta api penumpang pun pernah diadakan di sini. Bagaimanapun, perkhidmatan itu hanya bertahan beberapa tahun kerana kurang mendapat sambutan," katanya yang kini menetap di Bandar Springhill di sini.

Katanya, kereta api penumpang ketika itu tidak begitu selesa kerana tempat duduk kayu yang keras dan keadaan itu mungkin menyebabkan orang ramai lebih suka menaiki bas.

Bagaimanapun, dia percaya kereta api moden yang lebih laju dan selesa boleh menjadikan perkhidmatan kereta api penumpang di antara Seremban dan Port Dickson, kembali mendapat sambutan.


KAWASAN landasan keretapi yang terbiar berhampiran balai polis Mambau, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Port Dickson adalah tumpuan utama penduduk Lembah Klang untuk berehat, terutama pada hujung minggu. Berbanding memandu sendiri kereta yang memenatkan, orang ramai boleh menaiki kereta api yang lebih selesa," katanya.

Datuk kepada lapan cucu itu bersara pada tahun 2003 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkannya kini berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana cacat pendengaran sebelah kanan dan rabun teruk pada mata kiri.  

"Saya gembira menjadi penyambung gerabak walaupun gaji ketika mula bekerja hanya RM115 sebulan. Ini kerana  lokasi stesen kereta api yang terletak berhampiran pelabuhan menyebabkan suasana di situ sungguh meriah," katanya.

Penolong Kurator Muzium Negeri Sembilan, Asrul Effendi Kamaruzzaman, 46, masih ingat  keseronokan menaiki kereta api dari Seremban ke Port Dickson pada tahun 1980.

Dia yang berusia 10 tahun menaiki kereta api bersama keluarga yang hanya dikenakan bayaran RM1 seorang setiap kali mahu berkelah di pantai peranginan di sini.


KAWASAN stesen keretapi yang terbiar di bandar Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Kami pergi pada hari minggu dengan penumpang bukan sahaja orang tempatan, malah `orang putih' pun ramai menaiki kereta api. Ketika itu, tempat duduk hanya kerusi kayu dengan gerabak dilengkapi kipas angin," katanya.

Asrul Effendi menyokong hasrat kerajaan negeri untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api menghubungkan dua bandar itu.

"Menaiki kereta api melalui kawasan kampung, ladang getah dan sawit, menjanjikan pengalaman dan pemandangan yang jauh berbeza berbanding menaiki kereta atau bas," katanya.

Penduduk Kampung Arab di sini, Shahril Shahbudin, 50, turut mengingati perkhidmatan kereta api antara Seremban dan Port Dickson.


PENDUDUK Kampung Arab di sini, Shahril Shahbudin. - Foto Hazreen Mohamad

Dia yang ketika itu bekerja sebagai kelasi kapal, berkata stesen kereta api terletak bersebelahan pelabuhan bagi memudahkan barangan dari kapal dipindahkan ke kereta api.  

"Keadaan ketika itu amat sibuk kerana kemudahan lebuh raya belum ada menyebabkan pengangkutan barang menggunakan kereta api dan kapal sangat penting," katanya.

Shahril berpandangan khidmat kereta api masih relevan dan menyokong usaha menghidupkan kembali perkhidmatan itu walaupun hanya untuk tujuan pelancongan.

"Saya tertanya-tanya juga bila perkhidmatan ini akan dibuka semula kerana bukan sahaja saya, anak-anak juga tidak sabar menaiki kereta api," katanya.

INFO

Landasan kereta api Seremban-Port Dickson

1. Jarak landasan 38 kilometer

2. Jarak Seremban ke Port Dickson 32 kilometer

3. Tahun pembinaan landasan: 1891

 

Lembah Wawasan Malaysia (MVV)

1. Koridor baharu menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson membabitkan kawasan seluas 108,000 hektar.

2. Bertujuan melengkapkan pembangunan sedia ada di Lembah Klang, khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

3. Dibahagikan kepada lima kelompok, iaitu Daerah Perniagaan Tengah (CBD), Pendidikan dan Sukan, Kawasan Industri Baharu, Kawasan Kediaman Mampu Milik dan Taman Pusat Lembah Klang.

4. Kerajaan Persekutuan membantu pembinaan rangkaian jalan raya dan pengangkutan awam bagi memudahkan perhubungan antara MVV dengan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berita Harian X