Khamis, 26 Mei 2016 | 10:38am

Bursa Malaysia disokong belian saham mewah

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi meningkat semula kemudiannya disokong oleh belian dalam saham mewah, kata peniaga.

Pada jam 9.23 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.77 mata kepada 1,634.73 selepas dibuka 2.18 mata rendah kepada 1,628.78.

Ia ditutup 5.12 mata lebih tinggi kepada 1,630.96 semalam.

Peniaga berkata, pasaran saham tempatan meneruskan momentum semalam yang menyaksikan belian di saat akhir dalam saham mewah yang membantu melonjakkan indeks utama untuk ditutup menghampiri paras harian tinggi pada 1,630.96.

"Berikutan belian saat akhir dalam saham mewah terpilih semalam, pasaran dijangka bergerak antara 1,620 dan 1,637 dalam beberapa hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham mewah, Maybank naik lima sen kepada RM8.35, TNB meningkat dua sen kepada RM14.02, IHH menambah satu sen kepada RM6.56, Petronas Chemicals lapan sen kepada RM6.57 dan Public Bank tidak berubah pada RM19.22.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 12.6 mata kepada 11,424.63, Indeks FBMT100 melonjak 15 mata kepada 11,121.64 dan Indeks FBM Emas Shariah 7.8 mata lebih tinggi kepada 11,956.56.

Indeks FBM 70 jatuh 20.63 mata kepada 12,887.93 tetapi Indeks FBM Ace meningkat 3.38 mata kepada 5,530.11.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan meningkat 11.16 mata kepada 14,254.54, Indeks Perindustrian naik 2.23 mata kepada 3,086.54 tetapi Indeks Perladangan merosot 6.34 mata kepada 7,454.41.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 165 berbanding 160, sementara 198 kaunter tidak berubah, 1,223 tidak didagangkan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan berada pada paras 158.39 juta saham bernilai RM79.62 juta.

Di kalangan kaunter aktif, Vivocom dan Netx masing-masing tidak berubah pada paras 29 sen dan empat sen, sementara AirAsia X naik satu sen kepada 39 sen. - BERNAMA

Berita Harian X