Khamis, 26 Mei 2016 | 11:40am

Litar lumba untuk golongan muda akan dibina di Sungai Petani

DATUK Aminuddin Omar.

ALOR SETAR: Hasrat Kedah memiliki litar lumba sendiri bakal menjadi kenyataan apabila bajet untuk projek disenarai dalam Akujanji Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-14) diluluskan Kementerian Kewangan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Aminuddin Omar, yang mengesahkan peruntukan itu diluluskan dan akan dihantar kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah tidak lama lagi.

Katanya, jumlah peruntukan itu belum dimaklumkan, namun pihak Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) sedang menyediakan reka bentuk litar untuk dibentangkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Keluasan litar yang akan dibina di Sungai Petani ini bergantung kepada peruntukan diluluskan.

"Sekiranya peruntukan tidak begitu besar, kita akan bina dengan bentuk sederhana asalkan ia mampu menarik minat ramai anak muda dalam sukan permotoran," katanya di sini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sangat berharap litar lumba itu dapat dibina tahun ini seterusnya mampu mencungkil bakat baharu dalam sukan permotoran.

Selain itu, katanya, lebih penting belia dapat melalui persekitaran perlumbaan yang lebih selamat dan terhindar dari dunia rempit di jalan raya.

Berita Harian X