Khamis, 26 Mei 2016 | 1:04pm

2 wanita antara 23 penjawat awam ditahan SPRM Perlis

KANGAR: Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan 23 penjawat awam termasuk dua wanita kerana membuat tuntutan palsu sepanjang 2015, dalam operasi yang dijalankan pada 24 dan 25 Mei lalu.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah, berkata mereka yang ditahan di negeri ini terdiri daripada pelbagai agensi dan kumpulan jawatan.

"Siasatan mendapati mereka telah membeli resit dari hotel bajet di sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM10, kemudian membuat tuntutan di pejabat masing-masing dengan harga antara RM160 dan RM220 (mengikut kadar kelayakan gred masing-masing)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Menurutnya, ada juga antara mereka yang membuat tuntutan palsu berkenaan secara kerap iaitu sebanyak 10 kali dalam tempoh setahun dengan jumlah tuntutan individu yang mencecah RM9,850.

Jumlah keseluruhan tuntutan bagi semua kes berkenaan ialah sebanyak RM37,180 dan SPRM percaya masih terdapat kegiatan sama yang dilakukan dalam kalangan penjawat awam lain memandangkan hanya dua hotel sahaja yang telah diperiksa setakat ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694), katanya.

Yaacop berkata, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu arahan selanjutnya daripada TPR. - BERNAMA

Berita Harian X