Khamis, 26 Mei 2016 | 1:57pm

Lebih RM160,000 beli baju raya anak yatim - Perkaya

KEMAMAN: Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Terengganu (Perkaya) memperuntukkan lebih RM160,000 untuk pengagihan baju raya kepada 2,000 anak yatim di negeri ini, tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Perkaya, Datuk Harun Hasan, berkata sumbangan baju raya itu diagihkan kepada murid tahun tiga dan enam sempena kedatangan Aidilfitri ini.

"Kita telah selesai membuat pengagihan di tujuh daerah dan hanya satu daerah sahaja belum diagihkan pakaian raya ini iaitu di Besut yang kita anggarkan lebih 200 murid akan menerima sumbangan ini.

"Setiap tahun Perkaya mengagihkan pakaian raya yang memang kita beri kepada murid tahun tiga dan enam...jadi, setiap murid akan menerima dua kali sumbangan pakaian raya iaitu semasa mereka di tahun tiga dan kemudiannya sekali lagi semasa di tahun enam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Pakaian Raya Anak Yatim Sekolah-Sekolah Daerah Kemaman yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar di sini semalam.

Harun berkata sebanyak RM70 diperuntukkan untuk membeli sepasang baju raya bagi seorang murid.

"Untuk majlis hari ini RM18,130 dibelanjakan bagi membeli 259 pasang pakaian untuk 259 murid daripada 44 sekolah daerah ini," katanya.

Sementara itu, seorang penerima Aman Mustakim Abdullah, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ketengah Jaya berkata beliau berterima kasih kepada Perkaya yang memberi sumbangan baju raya berkenaan.

"Saya gembira kerana sudah dapat pakaian raya...jadi, mak saya tak perlu beli lagi baju lain untuk saya.

"Mak saya, Cik Cheremelati Latipah Awang tak bekerja, abang dan kakak yang tanggung saya belajar...mak tak perlu risau dah pasal baju raya saya nanti," katanya yang kehilangan bapanya Abdullah Husin sejak enam tahun lalu akibat penyakit paru-paru berair. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X