
PELABUHAN KLANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat di sini, malam tadi.
Kemalangan pada jam 9.20 malam itu menyebabkan mangsa, Kemin Amon, 30, yang berasal dari Sabah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada serta meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Trafik Klang Selatan, Inspektor Sutri Patang, berkata sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke tempat kerjanya di Pelabuhan Barat, sebelum bergesel dengan treler yang menyebabkannya terjatuh.
"Selepas jatuh, mangsa yang tidak sempat bangun dilanggar pula oleh sebuah lori muatan berat yang berada di belakang treler tadi," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.
Sutri berkata, pihak sudah merekod keterangan pemandu lori berusia 39 tahun berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.