Khamis, 26 Mei 2016 | 5:19pm

Hadi Ahli Parlimen pertama bukan kerajaan kemuka usul pindaan

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap kepada wartawan selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap kepada wartawan selepas sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR:  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencipta sejarah Parlimen Malaysia apabila menjadi Ahli Parlimen pertama  bukan kerajaan dibenarkan membentangkan Rang Undang-undang Persendirian mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016. 

Sebelum ini, pembentangan usul untuk pindaan Rang Undang-undang hanya dikemukakan oleh pihak kerajaan.  

Abdul Hadi, ketika membentangkan usul itu, berkata beliau mengemukakan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bagi menggantikan Seksyen 2. 

"Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan, dan;

"Memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen 2A, Mahkamah Syariah dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain hukuman mati," katanya. 

Terdahulu, selepas Dewan Rakyat kembali bersidang untuk sesi petang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 14(2) membenarkan usul Rang Undang-undang Persendirian dikemukakan di Dewan Rakyat. 

Selepas membentangkan usul itu, Abdul Hadi meminta rang undang-undang itu dibahaskan pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Berita Harian X