Jumaat, 27 Mei 2016 | 7:59pm

Mamee bawa Melaka ke Manchester jika menang Piala Malaysia

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Khairunisah Lokman/NSTP

AYER KEROH: Melaka United (MU) mendapat suntikan semangat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2016 apabila mendapat tajaan tambahan RM1 juta daripada syarikat Mamee-Double Decker (M) Bhd.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden MU, Datuk Seri Idris Haron, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Turut diumumkan tawaran mengunjungi Stadium Old Trafford di Manchester, United Kingdom, selain melawat pusat latihan serta menyaksikan perlawanan dan bertemu dengan pemain pasukan Manchester United kepada pengurusan serta pemain jika berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Melaka musim ini.

"Saya berterima kasih kepada pihak Mamee yang sudi menambah jumlah tajaan kepada pasukan MU tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya RM1.5 juta.

"Tajaan ini diharap menjadi pencetus semangat kepada pasukan untuk terus mempertingkatkan prestasi permainan, lebih-lebih lagi apabila berjaya melangkah masuk ke Liga Malaysia tahun ini," kata Idris ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mamee-Double Decker (M) Berhad, Tan Sri Pang Tee Chew berkata, insentif itu adalah penghargaan pihak syarikat kepada MU yang kini semakin menunjukkan prestasi cemerlang hingga berjaya melayakkan diri dalam saingan Piala Malaysia 2016.

Katanya, pihaknya akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Melaka dan berharap kecemerlangan yang ditunjukkan akan diteruskan pada masa akan datang.

"Kami melihat potensi baik ditunjukkan pasukan MU dan yakin mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain dalam saingan kali ini.

"Menerusi insentif ini, diharap dapat menaikkan semangat pemain untuk bermain lebih bersungguh-sungguh seterusnya membantu melonjakkan nama Melaka ke peringkat lebih tinggi dalam bidang bola sepak tanah air," katanya.

Berita Harian X