Jumaat, 27 Mei 2016 | 9:26pm

Geng samun stesen minyak tumpas


Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Supt. Rusdi Jaafar (dua dari kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang, Asisten Superintenden, Mohd Iqbal Ibrahim (dua dari kanan), pegawai penyiasat, Inspektor Siti  Narika Amirudin (kiri) dan Sarjan, Makimin Soyo menunjukkan barang kes selepas sidang media berhubung kes samun pam minyak Petronas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kini sedang memburu seorang lagi ahli 'Geng Afiz Jamroot' bagi membantu siasatan kes samun beberapa Stesen Minyak Petronas di Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Rusdi Jaafar, berkata tiga lagi ahli kumpulan berkenaan sudah diberkas dalam satu serbuan di Jalan Sri Kemboja, Taman Sri Raya Batu 9 di Cheras, Selangor pada 17 Mei lalu.

Beliau memaklumkan, serbuan berkenaan dilakukan selepas menerima aduan pada 4 Mei lalu daripada seorang pekerja Petronas di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) bahawa stesen minyak berkenaan di samun.

"Berikutan aduan itu, pihak polis mendapati kumpulan terbabit memang menyasarkan untuk menyamun stesen minyak berkenaan sekitar jam dua atau tiga pagi.

"Ketika serbuan, pihak polis merampas tukul besi yang disyaki diguna untuk memecahkan cermin kaunter stesen minyak, pistol mainan bagi menggertak mangsa dan topi keledar untuk menutup muka selain beberapa jenis kereta serta motosikal yang digunakan ketika menyamun.

"Ujian air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek mendapati ketiga-tiga mereka postif dadah jenis Methamphetamine," katanya pada sidang media di IPD Sepang, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, kumpulan berkenaan sebelum ini pernah menyamun beberapa Stesen Minyak Petronas, antaranya di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Sepang, Kajang, Serdang, Puchong, Petaling Jaya, Cheras dan Sungai Besi.

67 dibaca
Berita Harian X