X
Rabu, 5 November 2014 | 1:10pm

Zahid dikurnia anak lelaki

Zahid bersama anaknya.
Zahid bersama anaknya.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Era FM yang juga juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid bergelar bapa semalam.

Isterinya, Sarah Julifa Isa selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 5 petang di Dewan Bersalin Muslimah, Taman Sunway Batu Caves.

Bayi seberat 3.5 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan. Zahid turut menemani isterinya di dewan pembedahan dan cukup terharu dapat menyaksikan saat indah itu buat pertama kali.

"Mendengar tangisan anak buat pertama kali membuatkan saya dan isteri berasa syahdu dan sebak. Selesai anak dimandikan, saya turut melaungkan azan kepadanya. Itu antara pengalaman berharga saya saat bergelar bapa.

"Saat ini juga kami tengah memilih nama. Insya-Allah hari ketujuh kami akan memutuskan nama buatnya. Alhamdulillah anak dan isteri saya dalam keadaan baik.

"Cuma isteri saya masih baring dan belum dapat berjalan kesan dari pembedahan yang dilakukan," katanya yang sudah setahun lebih membina rumah tangga dengan Sarah.

Asalnya Zahid menjelaskan beliau dan isteri tak kisah apa jantina anak mereka.

"Tapi Alhamdulillah anak pertama kami lelaki. Itu permulaan yang baik. Insya-Allah," katanya.

Zahid dalam perkembangan seninya, masih menyanyi selain sibuk bergelar penyampai radio di ERA FM. Zahid sudah masuk tahun ketiga bersama stesen radio berkenaan.

"Saya masih memenuhi undangan menyanyi selain menjadi hos," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X