Sabtu, 28 Mei 2016 | 8:14am

Sampai bila sekolah agama tak selamat?

KESELAMATAN adalah perkara asas diperlukan setiap individu kerana ia berkait dengan tujuan kehidupan mereka. Jika wujud suasana tidak selamat, tiada erti kehidupan kerana pengajian Maqasid Syariah dalam ajaran Islam juga meletakkan aspek nyawa (an-nafsi) sebahagian perkara asas.

Dalam hierarki Abraham Maslow pula, hal berkaitan fisiologi, kesihatan dan keselamatan adalah hierarki paling utama diperlukan setiap manusia. Namun, beberapa isu keselamatan yang berlaku di negara kita tidak pernah dihirau dari segi amalan dan usaha penyelesaian.

Beberapa kejadian kebakaran dan kemusnahan bangunan yang memungkinkan terdedahnya nyawa manusia sebagai korban membimbangkan pihak bertanggungjawab. Pada tahun ini, kita dikejutkan dengan dua sekolah agama yang berdepan musibah kebakaran.

Dua blok bangunan asrama dan surau Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah Al-Islamiah, Naka, Kuala Nerang di Kedah musnah terbakar membabitkan kerugian hampir RM1 juta. Di Selangor, Pusat Tahfiz Maahad A-Ridzuan Kampung Datuk Ahmad Razali di Dengkil, Sepang, kehilangan tempat tinggal untuk penginapan pelajar. Tahun lalu, 60 pondok musnah di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas, Kelantan. Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz, Gunung Jerai, Kedah turut terbakar dengan tiga kanak-kanak melecur disambar api.

Selain itu, dua sekolah agama di Sabah, iaitu Sekolah Agama Al-Ummi Tahfiz Al-Quran, Labuan dan Sekolah Pondok Kota Peladok, Kota Belud, turut terbabit dalam malapetaka kebakaran beberapa tahun lalu. Banyak lagi kes kebakaran sekolah agama yang tidak disebutkan, boleh dikatakan setiap tahun terdedah risiko kehilangan nyawa kanak-kanak. Ini tidak termasuk yang berlaku kepada sekolah agama di negara jiran seperti di Yangon, Rohingnya dan selatan Thailand.

Masalah serantau

Kejadian kebakaran ini sudah diketahui umum dan menjadi masalah serantau, namun sejauh mana umat Islam bertindak bagi mencari jalan keluar untuk mengelak kejadian itu berulang? Kemusnahan membabitkan kos tidak sedikit jumlahnya.

Walaupun sesetengah kejadian tidak ada kehilangan nyawa, ia terdedah kepada risiko. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya." (Surah Al-Maidah, ayat 32)

Keselamatan kanak-kanak di sekolah agama sudah menjadi berita di dada akhbar setiap tahun dan ia tidak menampakkan keseriusan pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.

Artikel 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyebut, hak keselamatan diri adalah hak asas kepada setiap manusia pada semua peringkat umur. Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Sedunia mengingatkan, 'kanak-kanak itu oleh sebab dia belum matang dari segi fizikal dan mental, memerlukan pelindung dan jagaan khas termasuk perlindungan undang-undang yang sewajarnya, sebelum dan juga selepas lahir."

Kejadian yang berlaku menimbulkan persoalan adakah sekolah ini tidak mendaftar di bawah peraturan dan perundangan sedia ada. Di Malaysia, ada dua agensi menguruskan pendaftaran sekolah, iaitu Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Bagaimanapun, nama sekolah terbabit musibah sebahagiannya sudah mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri. Jika ada sekolah agama yang tidak mendaftar, usaha penguatkuasaan hendaklah dilakukan berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada. Pihak berkuasa perlu memastikan semua bangunan dan binaan mematuhi aspek keselamatan, termasuk peraturan lain. Sesiapa sahaja yang melanggar peraturan itu dianggap melakukan kesalahan dan perlu dikenakan tindakan.

Mencari formula penyelesaian

Pihak berkuasa juga boleh merobohkan mana-mana bangunan didirikan secara bersalahan dengan peruntukan undang-undang. Tetapi, sanggupkah pihak berkuasa meroboh semua bangunan untuk tujuan pendidikan demi mematuhi peraturan itu? Beranikah pihak berkuasa mendenda kesalahan dilakukan pihak sekolah sedangkan pihak sekolah sendiri berdepan masalah kewangan? Mampukah pihak berkuasa menghalang perjalanan madrasah hanya kerana ia tidak berdaftar?

Jika kerajaan tidak simpati sekalipun, tetapi masyarakat tetap simpati dengan kewujudan sekolah berkenaan. Mereka menganggap kewujudan sekolah itu adalah satu nilai komuniti yang berharga dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Inilah antara dilema perlu difikirkan semua pihak kerana bukan senang untuk menyelesaikan sesuatu masalah tanpa melihat daripada pelbagai dimensi.

Perbincangan formula penyelesaian mengingatkan kita kepada tragedi kira-kira 27 tahun lalu, kebakaran Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah di Padang Lumat, Yan, Kedah atau dikenali Pondok Pak Ya pada 22 September 1989. Kejadian itu mencatat sejarah hitam negara apabila 27 nyawa kanak-kanak terkorban dan membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah Agama.

Menurut laporan itu, suruhanjaya memperakui peranan besar dimainkan pihak sekolah dalam pendidikan negara dan mencadangkan satu sistem bantuan khas untuk memastikan kemudahan serta perjalanan sekolah tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata. Malah suruhanjaya berpendapat pembabitan masyarakat membantu kewangan sekolah perlu diperkukuh dengan sistematik.

Sejauh mana perakuan penting itu diusahakan? Tanpa menuding jari, kita hendaklah melihat semula peranan dan status madrasah ini dalam pentadbiran pendidikan kebangsaan. Jika pusat serenti ditubuh untuk menyelesai masalah kronik negara mempunyai peruntukannya sendiri, takkan sebuah pusat pendidikan yang mendidik agama untuk anak bangsa tiada peruntukan besar untuk beroperasi dengan lebih sempurna?.

Belum tentu 'graduan' pusat serenti menjadi lebih baik daripada sebelumnya sedangkan anak yatim yang dididik penuh keikhlasan sudah tentu berbeza proses pendidikannya.

2744 dibaca
Berita Harian X