Sabtu, 28 Mei 2016 | 8:45am

Petanda baik penyatuan ummah

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usulnya di Dewan Rakyat, kelmarin. - Foto Asyraf Hamzah

KELMARIN mungkin menjadi satu sejarah baharu kepada negara apabila Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Dari segi Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Persendirian hanya akan dibahaskan setelah semua Rang Undang-Undang Kerajaan, selesai. Kelulusan ini bermaksud bahawa Bacaan Pertama Rang Undang-Undang Persendirian ini akan berada dalam senarai teratas untuk dibahaskan dalam sesi Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pindaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang ini bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap kesalahan jenayah syariah, daripada hukuman sedia ada iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam kali sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 telah mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan Mahkamah Syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan sahaja.

Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa di seluruh negara. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen. Jika ada Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan undang-undang berlawanan akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires (melampaui) dan terbatal setakat mana yang berlawanan. Ini termaktub dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Wajar transformasi

Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dan umat Islam, kepemimpinan Perdana Menteri wajar mengadakan transformasi undang-undang jenayah syariah di negara ini, dengan meminda Akta 355 bagi memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah syariah.

Suatu perkembangan yang baik apabila suatu Rang Undang-Undang Persendirian yang diusulkan oleh pihak pembangkang mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kerajaan. Perkembangan inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat apabila wakil rakyat yang dipilih dapat bekerjasama dalam mengutamakan perkara untuk kepentingan masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.

Masyarakat terutama bukan Islam, tidak perlu berasa gusar atau khuatir sekiranya pindaan Akta 355 ini dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat kerana ia sama sekali tidak menggugat masyarakat bukan Islam.

Pindaan hanya akan membabitkan Mahkamah Syariah yang akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam sahaja dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tak sentuh peruntukan Kanun Keseksaan

Pindaan juga tidak akan menyentuh perkara atau kesalahan yang berada dalam peruntukan Kanun Keseksaan. Pindaan juga bukan undang-undang hudud sebagaimana yang diuar-uarkan oleh setengah pihak, kerana hanya sebahagian sahaja daripada hukuman hudud yang boleh dilaksanakan iaitu yang tidak membabitkan kematian.

Hukuman potong tangan atau rejam masih tidak boleh dilaksanakan walaupun setelah pindaan diluluskan oleh Dewan Rakyat. Menjadi harapan rakyat keseluruhan agar pindaan yang dicadangkan ini dapat diluluskan dengan jayanya.

Berita Harian X