Sabtu, 28 Mei 2016 | 4:47pm

Lebuhraya Pan Borneo pacu ekonomi Sabah


PERDANA Menteri, Datuk seri Najib Razak bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (kanan) hadir pada majlis perasmian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di Tawau, sebentar tadi. - Foto Malai Rosmah Tuah

TAWAU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bukan sekadar membina dan menaik taraf jalan raya kepada lebuh raya, sebaliknya pemangkin kemajuan ekonomi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kawasan pantai timur Sabah mempunyai potensi ekonomi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan, sekali gus merancakkan agenda pembangunan negeri dengan memacu lebih pantas perkembangan sektor ekonomi di kawasan terbabit.

"Inilah nikmat dan manfaat jika kita terus setia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjuang dan berkhidmat untuk membela nasib rakyat.

"Kerajaan BN terbukti membawa pembangunan dan kemajuan termasuk untuk rakyat di pantai timur Sabah.

"Ini merangkumi pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Tawau, peruntukan besar untuk keselamatan dan pertahanan menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan menaiktaraf Jalan Kalabakan-Sapulut di Tawau.

"Oleh itu, penting untuk kita mengukuhkan perpaduan, kesatuan, solidariti dan perjuangan untuk mengekalkan kestabilan, kemajuan serta kemakmuran yang menjadi faktor penting menjayakan agenda pembangunan untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini, sebentar tadi.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kesungguhan Perdana Menteri memajukan Sabah bukan hanya dilafazkan dalam ucapan dan bukan sekadar komitmen yang boleh didengar.

Sebaliknya, katanya, bukti dan manfaatnya dapat dilihat dan dinikmati rakyat.

"Lebuhraya Pan Borneo akan menyediakan masa depan lebih baik untuk kita dan generasi akan datang. Insya-Allah, saya yakin orang Sabah tidak lupa jasa dan budi Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X