Sabtu, 28 Mei 2016 | 5:06pm

Sokongan rakyat pastikan Lebuhraya Pan Borneo disiapkan - PM

TAWAU: Rakyat perlu memberi sokongan berterusan kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo dapat disiapkan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, projek berkenaan memerlukan enam tahun lagi sehingga tahun 2022 untuk disiapkan, bagi membolehkan rakyat Sabah menikmati kemudahan jaringan perhubungan jalan raya lebih baik dengan penyediaan jalan empat lorong dua hala dan tanpa tol.

"Ini hadiah kepada rakyat Sabah daripada kerajaan BN, justeru kita memerlukan enam tahun lagi untuk projek ini disiapkan.

"Kita tak cakap saja. Kita boleh buat dan projek Lebuhraya Pan Borneo ini akan mengubah landskap negeri ini," katanya ketika berucap melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi jajaran Tawau-Sandakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan surat setuju terima kepada kontraktor bagi projek naik taraf Jalan Donggongon ke simpang Papar Spur dan projek naik taraf Jalan Tawau-Semporna.

Pembinaan lebuh raya jajaran Tawau-Sandakan itu dimulakan dengan pakej pertama iaitu lima kilometer dari Kilometer (KM) 43 di Pekan Tawau hingga KM48 yang membabitkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala.

Pakej ini dijangka mula dibina awal bulan depan manakala pakej pembinaan seterusnya dirancang dilaksanakan secara berperingkat pada tahun 2017 hingga 2018.

Berita Harian X