Sabtu, 28 Mei 2016 | 6:19pm

Fiesta Belia Bangsa Johor untuk membudayakan gaya hidup sihat


Setiausaha MBJB, Farizal Ismail (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama peserta ketika merasmikan Fiesta Belia Bangsa Johor 2016 di Dataran Bandaraya Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Kira-kira 5,000 belia menyertai pelbagai aktiviti sukan dan riadah dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat menerusi Fiesta Belia Bangsa Johor 2016 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.

Pelbagai acara dijalankan termasuk persembahan seni bela diri, 'football freestyle', permainan ekstrim, zumba, karaoke, gerai jualan dan pertunjukan fesyen.

Selain itu kira-kira 500 peserta termasuk dari Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia mengambil bahagian dalam acara sukan bola sepak membabitkan 40 pasukan daripada tiga kategori iaitu junior (bawah 12 tahun), veteran (bawah 45 tahun) dan master (50 tahun ke atas).

Pegawai Belia dan Sukan Johor Bahru, Ruhisyam Ibrahim, berkata program itu dilihat mampu mewujudkan kerjasama antara kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memberi ruang dan peluang kepada generasi muda menyertai pelbagai aktiviti berfaedah.

"Pembabitan belia terutama di kawasan bandar raya ini dapat menggalakkan penyertaan aktiviti yang berfaedah, sekali gus seiring kepada pembangunan sukan dan rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Fiesta Belia Bangsa Johor yang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Farizal Ismail di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Yang turut hadir, Presiden Harimau Mega FC (HMFC), Datuk Haja Mydin Abd Kadir.

Ruhisyam berkata, program dua hari itu secara tidak langsung dapat menjadikan kawasan itu tumpuan generasi itu berkumpul, selain merapatkan hubungan silaturahim masyarakat.

Berita Harian X