Ahad, 29 Mei 2016 | 12:01am
Pasar Basah Kreta Ayer.
Pasar Basah Kreta Ayer.

Pasar Bisik-Bisik keunikan Kuala Muda

Pembeli dan penjual berbisik harga hasil tangkapan sehingga capai persetujuan.
Pembeli dan penjual berbisik harga hasil tangkapan sehingga capai persetujuan.

Jika bertandang ke Kota Kuala Muda, jangan tak singgah ke Pasar Bisik-Bisik. Itulah cadangan daripada seorang kenalan yang berasal dari Sungai Petani, Kedah kepada penulis.

Sebaik saja penulis menjejakkan kaki di kawasan pasar itu, suasananya tenang, tiada laungan atau teriakan yang kedengaran, hanya kelihatan beberapa individu berbisik sesama sendiri dan selang beberapa minit, bilangan jari saja yang ditunjukkan sesama mereka.

Kelihatan juga sekumpulan 'orang luar' mungkin pengunjung dari daerah berdekatan, duduk di satu sudut, memerhatikan saja gelagat berbisik-bisik itu.

Gamit pelancong

Penulis difahamkan inilah keunikan Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda menjalankan urus niaga secara berbisik ini sejak sekian lama.

Aktiviti bidaan ikan secara berbisik dianggap pelik dan mungkin tidak lagi diamalkan di kebanyakan tempat atau jeti nelayan di negara kita.

Nelayan menimbang ikan sebelum aktiviti berbisik bersama pemborong dilakukan.
Nelayan menimbang ikan sebelum aktiviti berbisik bersama pemborong dilakukan.

Justeru, keunikan inilah yang menggamit kehadiran pelancong selain pembeli, pemborong dan pengusaha restoran bertandang ke Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda seawal jam 8 pagi menunggu kepulangan nelayan ke jeti.

Suasana sibuk apabila beberapa nelayan mundarmandir dari bot ke jeti memunggah hasil tangkapan untuk dibida di kawasan pasar. Deretan bot nelayan berwarna-warni berlabuh di muara Sungai Muda menghadap Selat Melaka memberi pemandangan mempesona. Suasanya mendamaikan, kira-kira 400 meter di seberang Sungai Muda itu, kelihatan daratan dan itulah Pulau Pinang!

Tumpuan pada hujung minggu

Amalan bisik ikan sudah menjadi tradisi di Kuala Muda. Nelayan tidak mahu mengubah cara hidup mereka dengan sistem harga tetap kerana dengan kaedah lelongan secara berbisik, memberi kebebasan kepada mereka meletakkan harga bidaan kepada pembeli, termasuk peraih, pemborong, individu atau pengusaha restoran.

Deretan bot berwarna-warni berlabuh di tepi Sungai Muda, manakala di seberang daratan adalah Pulau Pinang.
Deretan bot berwarna-warni berlabuh di tepi Sungai Muda, manakala di seberang daratan adalah Pulau Pinang.

Prinsip jualan bisik cukup mudah. Pemborong atau orang perseorangan akan berbisik kepada nelayan untuk membeli hasil tangkapan mereka seperti ikan, udang, sotong dan ketam.

Mereka menawarkan harga yang diingini dan nelayan akan menjual hasil tangkapan berdasarkan 'harga bisik' paling tinggi.

Jadi, sistem bidaan berbisik mampu menarik perhatian ramai pihak termasuk pelancong dari negeri berdekatan seperti Pulau Pinang dan Perak.

Lazimnya setiap hujung minggu, cuti perayaan atau musim cuti persekolahan, bilangan pengunjung ke Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda akan bertambah sekali ganda, seolah-olah mereka sedang menghadiri majlis perkahwinan atau keramaian di kawasan berkenaan, suasana meriah dan sesak!

Kereta pengunjung sesak hingga di tepi jeti terutama pada hujung minggu.
Kereta pengunjung sesak hingga di tepi jeti terutama pada hujung minggu.

Identiti perkampungan nelayan

Pengalaman berbisik dan membida ikan dengan cara pelik ini tidak mungkin dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini untuk kali pertama.

Keunikan urusan jual-beli yang menggunakan konsep bisik antara pelanggan dengan nelayan punya tarikan tersendiri dan menjadi identiti perkampungan nelayan di sini.

Penulis berpeluang bertandang ke destinasi unik dan pelik itu baru-baru ini dengan memandu kenderaan pacuan dua roda (2WD), Volkswagen The Tiguan. Pemanduan sangat lancar ditambah dengan sistem brek elektronik dengan fungsi kendalian automatik dan kawalan keseimbangan elektronik (ESC) sebagai nilai tambah kepada faktor keselamatan.

Manakala Hikers Climber Adventure Team bertindak sebagai koordinator perjalanan kami.

Pemandangan mempesona dalam perjalanan ke Kota Kuala Muda.
Pemandangan mempesona dalam perjalanan ke Kota Kuala Muda.

Destinasi pelancongan

Peraih ikan, Mohd Nizam Azizan, 31, ketika ditemui berkata, pelancong asing mudah tertarik dengan konsep begini kerana percaya jual-beli ikan secara berbisik tidak diamalkan di negara mereka.

Kota Kuala Muda pekan terkecil di negeri Kedah, manakala pantai terdekatnya ialah Pantai Merdeka.

Tanggal 26 Disember 2004 berlaku gegaran gempa bumi menghasilkan gelombang besar tsunami dikesan di utara Indonesia.

Tsunami melanda kawasan pantai Kuala Muda dengan ketinggian ombak melebihi 8 meter, sekitar jam 1.45 petang, sekali gus meragut nyawa dan memusnahkan harta benda termasuk Pasar Bisik Ikan Kuala Muda.

Justeru, kesan fenomena alam dijadikan nilai tambah, sekali gus melonjakkan populariti Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda apabila pelancong pasti ingin meninjau kawasan yang pernah ranap sama sekali itu, dibangunkan semula menjadi antara destinasi pelancongan terkenal di Kedah.

  • Info
  • - Kompleks Pasar Bisik Ikan Kuala Muda terletak di Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, Kedah. Penduduk tempatan memanggil kawasan ini sebagai Pasar Bisik-Bisik.

  • - Tiada suasana riuh-rendah atau jeritan seperti di kebanyakan pasar, begitu juga tiada anggukkan kepala tanda setuju dengan harga yang dibida atau berlaku perbalahan, sebaliknya penjual atau nelayan hanya menunjukkan bilangan jari kepada pembida yang tertinggi.

La Boqueria.
La Boqueria.

  • Info: 10 pasar segar/basah terbaik dunia
  • 1. La Boqueria - Barcelona, Sepanyol

  • 2. Pasar Ikan Tsukiji - Tokyo, Jepun

  • 3. Union Square Farmer's Market - New York City, Amerika Syarikat

  • 4. Pasar Or Tor Kor - Bangkok, Thailand

  • 5. Pasar St. Lawrence - Toronto, Canada

  • 6. Pasar Borough - London, England

  • 7. Pasar Basah Kreta Ayer - Singapura

  • 8. Pasar Lancaster Central - Lancaster, Pennsylvania, Amerika Syarikat

  • 9. Marche Provencal - Antibes, Perancis

  • 10. Pasar Basah Kowloon City - Hong Kong

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X