Ahad, 29 Mei 2016 | 8:44pm

PERDA bakal kembali di bawah KKLW  

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) beramah mesra bersama Pengurus Syarikat Kanomman Enterprise, Rahim Hamat (tiga dari kiri) dan peniaga lain dalam sesi penyerahan mok cek di majlis Perasmian Expo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) dan Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Dataran Transformasi Usahawan, Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

TASEK GELUGOR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedia meletakkan agensi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di bawah seliaan kementerian itu sekiranya memberi keuntungan kepada rakyat negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PERDA yang kini diselia unit Jabatan Perdana Menteri (JPM), pernah bernaung di bawah KKLW sejak penubuhannya pada tahun 1983 hingga 2005. 

Beliau berkata, PERDA lebih sesuai dikendalikan oleh KKLW berikutan fokus utama agensi berkenaan yang menumpukan kepada projek pembangunan luar bandar dan wilayah.

"Ketika KKLW ditubuhkan, ada lima agensi bernaung bawah kementerian ini antaranya, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan juga PERDA.

"Bagaimanapun, PERDA kemudian dikeluarkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri apabila meletakkan agensi terbabit di bawah JPM dan diselia ICU," katanya selepas Majlis Perasmian Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) sempena Minggu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Kubang Menerong di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi masih berbincang mengenai permohonan PERDA untuk menyertai kembali KKLW.

"PERDA perlu melalui pelbagai proses sebelum boleh diletakkan semula di bawah KKLW dan berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyeru usahawan Bumiputera sedia ada memanfaatkan penggunaan media sosial sebagai alternatif meluaskan pemasaran produk mereka ke tahap lebih tinggi.

"Selain menjual produk di kedai, usahawan kini perlu lebih kreatif dengan mengetahui teknologi maklumat supaya dapat menggunakan medium media sosial bagi memasarkan produk mereka bukan sahaja di pasaran tempatan bahkan luar negara," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X