Isnin, 30 Mei 2016 | 12:00am
BUAH bambangan juga didapati berupaya mengurangkan tahap kolesterol darah. - Foto Hairul Anuar A Rahim
Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar menunjukkan gambar buah bambangan yang mampu membunuh sel kanser payudara. - Foto Hairul Anuar A Rahim

Bambangan mampu bunuh sel kanser payudara



Batu Pahat: Seorang saintis Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dekat sini, berjaya menemui ekstrak daripada sejenis mangga liar dikenali buah bambangan yang mampu membunuh sel kanser payudara.

Hasil kajian Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar juga mendapati hampir 90 peratus populasi sel kanser payudara mampu dimusnahkan dalam tempoh 72 jam apabila ekstrak biji bambangan didedahkan kepada sel berkenaan, manakala kesan tindak balasnya boleh bermula dalam tempoh 48 jam.

Lebih membanggakan apabila kajian oleh Ketua Jabatan Teknologi dan Warisan, Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan UTHM itu sudah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa tersohor berpangkalan di United Kingdom (UK), Food and Chemical Toxicology (FCT).

FCT memuatkan hasil kajian baharu berimpak tinggi dalam bidang makanan, perubatan dan kimia dari pakar seluruh dunia.

Bambangan atau nama saintifiknya 'mangifera pajang' adalah dalam keluarga mangga, berasal dari Kepulauan Borneo dan tumbuh liar di hutan.


Buah bambangan yang mampu membunuh sel kanser payudara terdapat hanya di Sabah dan Sarawak. - Foto Hairul Anuar A Rahim


Ketua Jabatan Teknologi dan Warisan Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan UTHM, Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar menunjukkan proses untuk mendapatkan ekstrak buah bambangan yang mampu membunuh sel kanser payudara. - Foto Hairul Anuar A Rahim

Bambangan magnifera pajang, berbeza dengan asam kumbang atau nama saintifiknya, magnifera quadrifida yang terdapat banyak di Semenanjung.

Musim buah berkenaan adalah pada September atau Oktober dan ia selalunya digunakan oleh masyarakat Sabah dalam masakan kari, jeruk serta sambal.

Ketika ditemui BH, Dr Mohd Fadzelly berkata, kajiannya bermula 2005 lagi ketika beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas tertarik dengan buah bambangan yang banyak di Sabah serta Kepulauan Borneo.

 

"Apabila mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di University of Nottingham, UK bermula 2006. Saya membawa ekstrak bambangan dari Malaysia untuk projek tiga tahun.

Hasilnya amat menakjubkan apabila ekstrak dari biji buah itu mampu memusnahkan sel kanser payudara.  


Pokok bambangan yang mampu membunuh sel kanser payudara terdapat hanya di Sabah dan Sarawak. - Foto Hairul Anuar A Rahim


Prof Madya Dr Mohd Fadzelly Abu Bakar menunjukkan ekstrak buah bambangan. - Foto Hairul Anuar A Rahim

"Apabila sel kanser dibiakkan dan ekstrak biji bambangan diletakkan padanya, seawal tempoh 48 jam didapati sel kanser payudara dapat dibunuh.

"Lebih menarik, dalam jam ke-72, didapati hampir 90 peratus populasi sel kanser payudara mati," katanya.

  • Info: Buah bambangan
  • - Pokok tinggi, buah gugur sendiri apabila matang

  • - Kulit coklat, isi kuning terang

  • - Rasa masam manis, punya serat banyak, kasar

  • - Isinya tinggi Vitamin C, beta karoten, anti oksida

  • Fakta nombor
  • - 0.5 hingga 1kg berat sebiji buah bambangan.

  • - RM93,200 geran disalurkan KPT untuk kajian lanjut.
721 dibaca
Berita Harian X