Isnin, 30 Mei 2016 | 11:49am

Saksi kes gaduh diminta beri keterangan

ALOR SETAR: Polis meminta saksi yang melihat dakwaan pergaduhan yang membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan seorang individu pada 15 Mei lalu, di sini agar tampil memberi keterangan.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata siasatan kes berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan sehingga kini pihaknya telah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Keterangan daripada doktor yang merawat mangsa yang terlibat juga akan diambil dan sekarang kita minta saksi yang ada di tempat kejadian terutama dua orang awam yang menaiki motosikal yang dilihat di dalam video yang cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

"Perakam video kejadian juga diminta untuk tampil memberi keterangan di balai polis berdekatan.

"Polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan seadil-adilnya bagi mengetahui siapa yang bersalah dalam perkara ini," katanya kepada pemberita pada majlis tamat latihan konstabel sukarelawan simpanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang pengadu yang dikenali sebagai Alif Adam Mohd Munaim mendakwa telah dipukul oleh tiga individu termasuk seorang ADUN di hadapan sebuah kompleks beli-belah.

- BERNAMA

Berita Harian X